Pertahan Kerusi Parlimen Sandakan Daripada Pembangkang

SANDAKAN: Rakyat tidak akan mendapat kebaikan sekiranya kerusi Parlimen Sandakan jatuh semula ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata Sandakan kehilangan berjuta-juta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan apabila kerusi itu menjadi milik pembangkang pada pilihan raya lalu.

“Jika kita pilih calon yang tidak dapat sampaikan (keperluan rakyat kepada kerajaan), kita letak wakil pembangkang, kita tak dapat apa-apa. Jika kita letak kerajaan, sekurang-kurangnya kita dapat sesuatu yang baik.

“Saya bukan mahu lawan pembangkang, tapi apa faedah mereka boleh beri kepada kita? Tiada. Apabila datang ke sini, mereka cuma sentuh pasal rasuah, tapi tak cakap mengenai keselamatan sebab mereka tiada kuasa.

“Sebagai Ketua Menteri, saya tahu apa yang diperlukan rakyat khususnya masyarakat Cina yang mengutamakan pendidikan, peluang perniagaan dan itu yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Menteri dan Pemimpin Masyarakat Cina, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Datuk Au Kam Wah; ADUN Karamunting, Datuk Charles Pang Su Pin dan Pengerusi Penyelaras BN Sandakan, Datuk Chin Su Phin.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata, Kerajaan Persekutuan sudah memberi jaminan akan mempercepatkan projek membesarkan landasan Lapangan Terbang Sandakan bagi membolehkan pesawat lebih besar mendarat, sekali gus meningkatkan jumlah pelancong ke daerah ini.

“Kerajaan Persekutuan juga sudah meluluskan permohonan pengeluar tenaga bebas (IPP) bagi meningkatkan bekalan elektrik di daerah ini secepat mungkin,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.