Terlanjur Kata, Michael Ang Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Pengarah Michael Ang memohon maaf berhubung kenyataannya yang dianggap mempersendakan Islam dalam satu video di Instagram hingga mengundang kemarahan netizen.

Michael berkata, dia tidak berniat menyakiti hati mana-mana pihak, apatah lagi mempersoalkan mengenai amalan agama yang menjadi isu sensitif kepada ramai.

“Saya meminta maaf kepada semua dan apa yang berlaku, saya ambil sebagai ujian atas keterlanjuran kata-kata.

“Tidak terdetik di hati untuk saya menghina sesiapa. Mungkin cara penggunaan bahasa yang salah ketika berbicara, membuatkan orang marah,” katanya menerusi satu catatan di Instagram.

Terdahulu, pengarah drama Suri Hati Mr Pilot itu turut memuat naik video pendek di laman sosial yang sama untuk menyatakan permohonan maaf, semalam.

Pada masa sama, Michael menyatakan, dia juga sudah memaafkan individu yang mengutuk dan menghinanya.

“Kepada sesiapa yang memberi komen menghina dan berbahasa kasar, saya maafkan. Kalau benar-benar alim, mereka tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya lagi.

Terdahulu, Michael memuat naik video untuk berkongsi pendapat berkaitan isu pelancaran koleksi tudung terbaru Neelofa di sebuah pusat hiburan di ibu kota, baru-baru ini.

Tegasnya, jangan kerana sering menghasilkan karya drama dan filem Melayu, dia boleh memberi komen yang menyentuh hal ehwal agama Islam.

Michael menganggap isu itu tidak sepatutnya diperbesarkan dan dalam nada sinis mendakwa, mungkin tiada masalah jika dia mahu sewa pusat hiburan itu untuk mengadakan majlis tahlil.

Kenyataan Michael itu membuatkan netizen menyelar kerana berpendapat, sebagai penerbit dan pengarah yang banyak menghasilkan drama Melayu, dia sepatutnya sensitif dan tidak memberikan komen sedemikian.

Susulan kenyataan Michael itu, komposer dan penyanyi kumpulan VE, Damian Mikhail menyelar tindakannya selain berharap, dia tidak lagi memberi komen yang boleh menyinggung perasaan umat Islam. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.