34 Terbunuh Di Ghouta Timur

BEIRUT: Serangan udara regim Syria terhadap kawasan kubu kuat pemberontak di Ghouta Timur dekat Damsyik menyebabkan lebih 30 orang awam termasuk kanak-kanak terkorban, kata kumpulan pemantau.

“Seramai 34 orang awam terbunuh disebabkan serangan dan roket tentera regim di Ghouta Timur dan 11 daripada mangsa adalah kanak-kanak,” kata Ketua Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman.

Rami juga berkata, 26 mangsa terbunuh di bandar Douma, Ghouta dan kawasan pinggir timur bandar itu.

Sehubungan itu, SOHR berkata, serangan udara, artileri dan roket ke atas Ghouta sejak 15 hari lalu sudah mengorbankan lebih daripada 690 orang awam.

Semalam, Presiden Syria, Bashar al-Assad berkata, tenteranya perlu meneruskan kempen untuk merampas semula Ghouta Timur daripada pemberontak tanpa mempedulikan desakan masyarakat antarabangsa agar menghentikan segera pertumpahan darah.

Setakat ini, tentera Bashar sudah menawan semula lebih daripada suku kawasan pinggir timur Damsyik selepas dua minggu melakukan pengeboman.

Pada masa sama, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis terus menekan Damsyik dan Moscow susulan serangan yang berlaku.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih merancang untuk menghantar bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan penduduk Ghouta Timur ketika ini. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.