Agong Alu-alukan Inisiatif Kerajaan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengalu-alukan langkah kerajaan yang sentiasa berusaha menangani pelbagai isu rakyat terutama kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif.

Baginda percaya lebih banyak inisiatif akan diperkenalkan berikutan keputusan kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara untuk merangka program segera bagi meringankan beban rakyat.

“Beta bersyukur walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan kekal fokus serta komited melaksanakan dasar transformasi fiskal serta pengurusan ekonomi dan kewangan negara secara berhemat.

“Kewangan kerajaan juga dijangka akan lebih kukuh, disumbang oleh kutipan hasil yang lebih tinggi, pertumbuhan perbelanjaan yang sederhana dan defisit fiskal yang disasarkan terus berkurangan.

“Rizab antarabangsa pula kekal kukuh, manakala hutang kerajaan Persekutuan terurus dan terkawal,” titah baginda pada sesi pembukaan Mesyuarat Ketiga, Penggal Keenam, Parlimen Ke-13 di Parlimen, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sultan Muhammad V bertitah, perdagangan luar Malaysia dijangka kekal berdaya tahan selaras dengan aktiviti perdagangan global yang semakin meningkat.

Baginda bertitah, negara juga masih kekal sebagai salah satu destinasi pelaburan pilihan dan dijangka dapat menarik pelaburan yang lebih tinggi tahun ini, sekali gus diharapkan momentum prestasi positif ini dapat dikekalkan.

” Kerajaan Beta akan terus menyediakan peruntukan bagi melaksanakan lebih banyak program dan projek berpaksikan rakyat demi kesejahteraan mereka.

“Subsidi dan bantuan bersasar akan terus disediakan kepada golongan yang memerlukan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.