Dapat Hidayah Selepas Mimpi Lihat Kaabah

SEREMBAN: “Selepas mimpi melihat Kaabah pada Disember lalu, saya nekad memeluk Islam tanpa paksaan daripada sesiapa,” kata Jannatul Ferdoush Silvalingam, 37.

Ibu kepada dua anak itu berkata, tiga hari selepas mendapat persetujuan daripada bapa dan adik-beradik mengenai niatnya itu, dia mencari seorang ustaz untuk mendapatkan pandangan.

Katanya, dia memeluk Islam selepas mendapati hidupnya tidak tenteram kerana menghadapi masalah dengan bekas suami dan perniagaan kedai runcit miliknya.

“Syukur selepas mengucap dua kalimah syahadah pada 4 Disember lalu, saya merasa amat tenang dan rasa seperti bayi yang baru dilahirkan.

“Beberapa hari selepas memeluk Islam, saya sekali lagi nekad membawa diri untuk mendalami ilmu agama, selain mahu melupakan semua masalah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Astana Zemi, Kampung Baru Rasah di sini, malam tadi.

Majlis itu dianjurkan oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Darussaadah Negeri Sembilan (MRA) dan Persatuan Ikatan Ukhuwah Saudara Baharu (PIUSBA) dengan kerjasama Kompleks Al-Sa’adah atau lebih dikenali sebagai Pusat Kegiatan Saudara Baharu.

Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Kamal Amran Kamarudin.

Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Jannatul berkata, sebaik mengetahui mengenai kewujudan Kompleks Al-Sa’adah yang mampu membantu golongan sepertinya, dia terus ke sana dengan hanya sehelai sepinggang.

Katanya, dia gembira diterima baik, malah dalam tempoh dua bulan, mampu menghafal surah al-Fatihah selain menunaikan solat secara berjemaah di masjid setiap hari.

“Ketika ini saya sudah tidak mahu memikirkan mengenai masalah yang ada kerana hanya mahu memberi tumpuan untuk belajar agama saja.

“Saya berharap suatu hari nanti, dapat menjejakkan kaki ke Makkah untuk menunaikan umrah,” katanya yang turut bercadang membuka semula perniagaan kedai runcit yang dimiliki sebelum ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.