Farid Kamil Ditegur Majistret, Jangan Keluarkan Kenyataan

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil ditegur Mahkamah Majistret di sini, hari ini supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes jenayah dihadapinya kerana ia sudah berjalan di mahkamah.

Peringatan itu diberikan Majistret Nor Ariffin Hisham terhadap Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 37, selepas pelakon utama filem Lagenda Budak Setan itu membuat kenyataan baru-baru ini.

“Mahkamah ingin memberi peringatan kepada tertuduh, disebabkan kes sudah dituduh di mahkamah, diharapkan tertuduh tidak membuat kenyataan berkaitan pertuduhan dihadapinya.

“Apa-apa perkara yang dibangkitkan perlu dikemukakan kepada mahkamah dan boleh digunakan di peringkat perbicaraan nanti,” katanya.

Peguam, Faizul Mohd Nasir yang mewakili Farid Kamil kemudian berkata, pihaknya memohon maaf dan berterima kasih atas teguran itu.

“Pihak kami tidak menyentuh secara langsung berkaitan pertuduhan dihadapi oleh anak guam saya dan tiada sebarang subjudis berlaku,” katanya.

Pengarah filem V3: Samseng Jalanan yang menerima gelaran Datuk pada Disember tahun lalu itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya jam 9.35 pagi ditemani dua adiknya, Fadzil Zahari dan Dr Anis Anwar, sebelum meninggalkan kompleks itu kira-kira jam 10 pagi.

Sementara itu, tiada sebarang komen daripada Farid Kamil dan beliau dilihat hanya tersenyum kepada pemberita selepas tamat prosiding mahkamah.

Hari ini, ditetapkan prosiding sebutan semula kes membabitkan Farid Kamil yang mengaku tidak bersalah pada 16 Januari lalu atas pertuduhan mendatangkan kecederaan pada seorang eksekutif akaun di sebuah syarikat swasta, Ashraf Ahmad, 35, dan anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Farid Kamil turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam dengan niat menghalang penjawat awam itu menjalankan tugasnya, manakala pertuduhan keempat, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan sehingga boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan kepada Muhammad Nizam.

Pertuduhan ketiga didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan keempat pula didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukan Farid Kamil di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini kira-kira jam 1.20 tengah hari 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid turut didakwa menggunakan dadah Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu 11-nor-tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid yang juga dadah terdapat pada ganja, di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 4.30 petang tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik memohon tarikh akan datang bagi sebutan semula kes itu dan mahkamah menetapkan 7 Mei depan sebagai pengurusan kes. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.