Hanya BN Mampu Tangani Masalah Rakyat: Najib

KUALA NERUS – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat negara ini sedar bahawa hanya kerajaan BN yang mampu menangani pelbagai isu berkaitan kepentingan rakyat.

Menurutnya, komitmen dan keprihatinan kerajaan tidak perlu dipertikaikan kerana kerajaan sentiasa meletakkan keperluan dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Itulah kelebihan yang dimiliki BN dan tidak ada pada pembangkang. Mereka hanya melakukan perkara yang mempunyai kepentingan politik semata-mata, sedangkan soal rakyat diabaikan sehingga membebankan mereka.

“Mereka hanya pandai menimbulkan isu untuk mengapi-apikan perasaan rakyat, sedangkan mereka tidak mempunyai alternatif dan tidak mampu memberi penyelesaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Ekspo Terengganu 2018 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Jelas Najib, pembangkang sering kali memainkan isu kenaikan kos sara hidup tetapi tiada alternatif dan tidak mampu menyelesaikannya.

“Berbeza dengan kerajaan, kita ada alternatif lain dengan adakan Jualan Sentuhan Rakyat.

“Hari ini (semalam), rakyat dapat beli daging lembu dengan harga RM22 sekilogram tapi harga biasa lebih mahal daripada itu. Mungkin jimat RM7 hingga RM10. Ayam pun lebih kurang daripada harga biasa malah ikan kembung dan ikan-ikan lain masih segar dan rendah daripada biasa.

“Kita tak hentikan setakat jualan di ekspo ini sahaja tapi saya dah arahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), ia mesti diteruskan sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setiap bulan di setiap parlimen. Ini penyelesaiannya,” katanya.

Beliau menambah, antara isu-isu rakyat lain yang berjaya ditangani dengan bijak oleh kerajaan termasuk menyediakan puluhan ribu peluang pekerjaan daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Untuk Terengganu, ada lapan stesen ECRL dan projek ini dapat sediakan 3,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji yang kompetitif dan kemuncaknya seramai 30,000 akan dapat kerja.

“Jadi kita buat ini semua untuk siapa? untuk rakyat juga. Saya dah kata kita kena dahulukan rakyat dan kita tak mahu hidup dengan janji kosong. Kita tak mahu hanya manis di bibir tapi tak mampu tunaikan dan lakukan perubahan,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.