JKM Teliti Laporan Kajian UNICEF

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang meneliti laporan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertajuk ‘Kanak-Kanak Pinggiran: Kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur´, diterbitkan pada 26 Feb lepas.

Ketua Pengarahnya Mohd Fazari Mohd Salleh berkata JKM akan bekerjasama dengan UNICEF bagi memperincikan dapatan kajian itu yang mendakwa kanak-kanak menetap di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negara ini dikenal pasti kelompok paling ramai mengalami masalah bantut dan kurus.

Beliau berkata pihaknya mengambil serius setiap data kaji selidik setebal 76 muka surat yang dikumpul daripada 966 ketua isi rumah dan 2,142 kanak-kanak dari 17 lokasi berbeza di sekitar ibu kota dan Petaling Jaya, Selangor itu.

“Tindakan awal JKM ketika ini ialah mendekati golongan terbabit menerusi program Kembara Kebajikan 1Malaysia yang bermula 1 Mac lalu hingga hujung bulan ini.

“Program melibatkan penyertaan golongan masyarakat, sukarelawan, pemimpin setempat, pihak kerajaan dan swasta itu akan mencari mereka yang layak menerima bantuan JKM,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Nine11 terbitan Bernama News Channel, di sini hari ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.