Mark Adam Kongsi Hadiah Kemenangan

SHAH ALAM: Menepati janji, penyanyi Mark Adam yang menjuarai Super Bintang Bersama Bintang (SBBB) 2018 membahagikan RM60,000 daripada RM100,000 hadiah wang tunai yang dimenanginya pada pentas akhir program realiti itu di sini, malam tadi, kepada empat peserta lain.

Sebaik dinobatkan juara, Mark mengumumkan hasrat memberi RM15,000 setiap seorang kepada Achey, Ajak, Shuk dan Issey yang bersaing dengannya dalam program itu.

Malam kemuncak SBBB 2018 yang disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, di sini, diadili juri tetap, Saiful Apek dan juri jemputan, Fasha Sandha. Penghakiman mereka mewakili 70 peratus manakala selebihnya undian atas talian.

Pusingan awal yang dinamakan Arena Bintang Bersama Bintang 2018 adalah medan peperangan lawak era baharu yang menonjolkan cabaran enam peserta iaitu Ajak, Issey, Mark Adam, Achey, Shuk dan Abam.

Bagaimanapun, Abam menjadi peserta tunggal yang terkeluar pada episod penyingkiran minggu keenam program realiti itu.

Setiap minggu, peserta paling menyerlah dengan sketsa sarat mesej berpeluang membawa pulang RM10,000. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.