Pasangan Langgar Pokok Tumbang Baru Bernikah Semalam

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang cedera selepas melanggar pokok tumbang di Jalan Ampang pagi tadi, baru bernikah semalam.

Mangsa, Mira Ezva Abd Rasid, 25, berkata beliau dan suami, Norazrul Ahmad, melangsungkan majlis pernikahan di sebuah masjid di Cheras, malam tadi.

“Kejadian (kemalangan) berlaku begitu pantas. Pokok di hadapan kami tiba-tiba tumbang menyebabkan suami tidak sempat membrek dan terus melanggar pokok itu.

“Saya bersyukur terselamat dalam kejadian, namun kini risau dengan keadaan suami yang masih belum sedarkan diri, malah lebih teruk kami baru saja bernikah,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.43 pagi tadi, sebatang pokok tumbang di Jalan Ampang berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, menyebabkan Norazrul yang menaiki motosikal bersama isterinya mengalami kecederaan parah.

Mira Ezva berkata, beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Ampang di sini, mendakwa kali pertama melalui jalan berkenaan.

“Ini adalah kali pertama kami melalui jalan ini memandangkan saya baru sahaja ditukarkan bertugas di pusat beli-belah berkenaan.

“Ini dugaan besar buat saya dan suami yang baru bernikah tidak sampai sehari. Saya berharap suami pulih seperti sediakala,” katanya.

Katanya, beliau kini menunggu keadaan suami stabil sebelum bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan. Ini membabitkan nyawa orang ramai di kawasan berkenaan.

“Saya dan suami bernasib baik tidak dihempap pokok berkenaan. Jika tidak, saya tidak tahu apa nasib saya dan suami,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.