‘Drama’ Lawan Arus Di Lebuh Raya

KUALA LUMPUR: Bagai adegan filem aksi, sebuah kereta dinaiki empat penjenayah nekad melawan arus Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) sebelum melanggar beberapa kenderaan lain ketika dikejar anggota polis dalam kejadian kira-kira jam 7 malam tadi.

Difahamkan, kumpulan penjenayah berkenaan mengundurkan kenderaan dinaiki beberapa kali walaupun dikepung polis sebaik terbabas dan melanggar konkrit penghadang jalan berhampiran susur masuk Setiawangsa.

Bagaimanapun, percubaan mereka meloloskan diri gagal sebaik anggota polis melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran sebelum suspek ditahan.

Sumber polis berkata, kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai meninjau rumah yang ingin dirompak di Taman Sri Rampai.

Bagaimanapun, kehadiran mereka disedari seorang anggota polis yang tinggal di situ kira-kira jam 6.15 petang sebaik melihat kehadiran sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bagi meminta bantuan.

“Namun, sebaik anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju tiba membuat pemeriksaan, pemandu kereta berkenaan memecut bagi melarikan diri.

“Suspek kemudian memasuki Lebuhraya DUKE dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Sumber berkata, sepanjang hampir sejam cubaan melarikan diri, kereta dipandu suspek melanggar beberapa kenderaan lain di laluan berkenaan.

“Kenderaan suspek hanya berhenti selepas melanggar sebuah Proton Waja lalu terbabas sebelum merempuh penghadang konkrit berhampiran susur masuk Setiawangsa.

“Selepas terbabas, suspek cuba beberapa kali untuk melarikan diri dengan mengundurkan kereta namun gagal,” katanya.

Katanya, suspek menyerah diri selepas polis melepaskan dua das tembakan ke udara.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui beberapa peralatan seperti alat membuka kunci, spanar, pemutar skru, pemotong kunci, beberapa unit telefon bimbit serta peralatan lain dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.