Hikmah Bakal ‘Hilang’ Suami, Intan Liana Dapat Tawaran Model Muslimah

HIKMAH di sebalik rasa simpati orang ramai terhadap masalah rumah tangga antara pemuzik bebas, Ude Wahid dan isteri pertamanya, Intan Liana telah membuka peluang pekerjaan kepada wanita itu.

Intan atau nama sebenarnya Intan Liana Saleh, 33, berkata dia ada menerima beberapa tawaran menjadi model muslimah sejak berita perceraiannya hangat diperkatakan.

“Alhamdulillah, rezeki saya menerima beberapa tawaran menjadi model muslimah selepas apa yang berlaku.

“Saya tak sangka berita itu mendapat liputan yang luas. Apa-apa pun, saya nak mengucapkan terima kasih pada pihak yang sudi menawarkan saya kerja,” kata Intan kepada mStar Online.

 


Intan bersyukur ramai orang memberi sokongan dan semangat padanya.

Intan ketika dihubungi memberitahu buat masa sekarang dia hanya menerima satu tawaran model tudung sahaja terlebih dahulu.

Memandangkan Intan tidak tahu selok belok bidang peragaan, dia meminta pertolongan kakak sulungnya untuk menguruskan perkara tersebut.

“Buat masa ini, saya hanya terima satu tawaran terlebih dahulu iaitu model untuk tudung. Selebihnya masih dalam perbincangan.

“Saya minta tolong kakak untuk uruskan perkara itu sebab ini kali pertama saya dapat tawaran tersebut. Saya tak tahu sangat mengenai bidang peragaan,” ujarnya.

 

Intan dan dua orang anaknya tinggal di rumah yang disediakan oleh Ude.

Menurut Intan lagi, jika ada rezeki dia akan meneruskan karier sebagai model muslimah namun selepas selesai urusan perceraiannya.

“Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan teruskan karier itu. Tapi tengok pada keadaan dan apa-apa pun biar urusan perceraian itu selesai dahulu.

“Selepas semuanya selesai, barulah saya boleh fikir tentang pekerjaan tetap atau secara bebas,” kata Intan yang tidak mempunyai apa-apa pekerjaan.

Dalam pada itu, Intan bakal mengeluarkan produk gincu jenamanya iaitu Lawabybonda pada bulan ini.

 

Izreen merahsiakan perkahwinannya atas permintaan suami.

Kata Intan, produk tersebut masih dalam proses dan hanya akan dijual menerusi dalam talian sahaja. “Saya akan keluarkan produk gincu jenama saya sendiri. Insya-Allah akan siap pada bulan ini juga.

“Produk itu masih dalam proses nak siap dan hanya akan dijual menerusi talian sahaja. Nanti akan dimaklumkan menerusi Instagram saya,” katanya.

Intan bakal diceraikan Ude atau nama sebenarnya Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, pada 22 Mac depan.

Kehidupan Intan dan Ude menjadi sensasi apabila suaminya itu berhajat menceraikan dia pada  22 Mac depan.

Mereka berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak, Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1.

Manakala Ude dan pelakon Izreen Azminda telah berkahwin secara rahsia pada 8 Ogos tahun lalu. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.