1901 Hektar Program Tanam Semula Di Felda Soeharto

HULU SELANGOR- Sebanyak 1,901 hektar kawasan di FELDA Soeharto terlibat dalam program tanam semula secara berperingkat yang melibatkan 502 peneroka .

Bercakap kepada wartawan selepas program lawatan tapak dan penerangan insentif tanam semula, Tan Sri Shahrir Samad berkata, sebanyak 502 peneroka daripada 653 peneroka terlibat dalam insentif tanam semula ini.

“Peneroka yang terlibat tanam semula, mendapat manfaat daripada bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Oktober tahun lalu.

Syarat untuk mereka yang ingin sertai insentif yang melibatkan geran RM30 Ribu daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ini mestilah peneroka yang bersama Felda.

Takrif peneroka bersama FELDA membawa maksud, peneroka menjual hasil melalui FELDA (ada akaun)”, ujar beliau.

Setiap peneroka yang layak akan menerima geran tanam semula MPOB bernilai RM7,500 setiap hektar.

Insentif  geran khas tanam semula peneroka  oleh Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) bersama FELDA dengan kadar RM7,500 ringgit per hektar diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2018 pada Oktober tahun lalu.

“Pengumuman oleh Perdana Menteri pada bajet tempoh hari bakal mendatangkan manfaat kepada 2611 peneroka dan melibatkan 12 rancangan secara keseluruhannya”, Tan Sri Shahrir Samad.

Anak pokok yang berumur 12 bulan hingga 18 bulan akan ditanam di tapak yang telah dibersihkan dan dijangka akan mendatangkan hasil buah dalam tempoh 3 tahun akan datang.

Mengulas berkenaan program Muafakat yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Hari Peneroka tahun lalu, Shahrir berkata, seramai 14 ribu peneroka kembali dan sertai Felda sejak Ogos yang lalu dan bayaran Insentif RM5 Ribu dijangka diterima oleh mereka pada bulan ini (Mac).

Dalam program lawatan tapak ke FELDA Soeharto ini, Pengerusi FELDA turut berpeluang melihat proses kawalan ulat pemakan daun yang melanda Tanah Rancangan ini.

Selain itu, beliau turut melihat proses pembersihan kebun sawit bagi memberi ruang kepada proses penanaman semula pokok berkenaan. Turut hadir pada program ini ialah Dato Ghani Ali, Pengarah Besar FELDA.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.