Import Tembikai Wangi Australia Digantung

CYBERJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyekat sementara kemasukan tembikai wangi dari Australia berikutan wabak listeriosis yang dikesan di negara itu.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata langkah itu bertujuan mengelak penularan kes akibat memakan tembikai wangi dicemari oleh bakteria listeria monocytogenes.

“Kerajaan Australia turut menghentikan pengeksportan buah itu susulan penularan wabak berkenaan, maka kita nasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengambil atau membelinya kerana bimbang ia tercemar,” katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan pihak berkuasa New South Wales (NSW) Health, Sydney, jangkitan listeria selepas memakan tembikai wangi tercemar meragut empat nyawa setakat ini.

Kes itu mula menarik perhatian bulan lalu, selepas pegawai kesihatan mengesahkan punca wabak dari sebuah ladang di NSW.

Setakat ini, ia menjangkiti 17 orang.

Ahmad Shabery berkata, sekatan pengimportan itu dilakukan hingga penularan wabak pulih.

“Kita ada tembikai wangi tempatan yang boleh dibeli,” katanya

Mengulas isu kononnya 7,000 hingga 8,000 lembu ternakan dihapuskan berikutan dakwaan wabak tuberkulosis (TB), beliau berkata, penjelasan menafikan audio dan video berkenaan sudah dibuat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor.

“Kes TB menjangkiti haiwan ternakan seperti lembu hanya kes terpencil, ia tidak menjejaskan bekalan daging negara,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.