Manifesto PH Untuk ‘Sedapkan’ Telinga Rakyat

IPOH: Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) dirangka bukan berdasarkan fakta, sebaliknya pandangan sendiri untuk meraih populariti.

Katanya, tidak kira berapa kali pakatan pembangkang meminda manifesto mereka, ia tetap tidak realistik untuk dilaksanakan kerana dibuat tanpa pengetahuan dan kajian yang mendalam.

“Jelas apa yang mereka buat (manifesto) bukan berdasarkan kepada pengetahuan mendalam mengenai sesuatu isu, mereka buat hanya untuk bagi rakyat sedap mendengar saja.

“Kita tengok pada (Pilihan Raya Umum) 2004 manifesto lain, begitu juga (PRU) 2008 dan sekarang pun lain, berubah-ubah sekadar untuk melegakan halwa telinga atau sebagai modal untuk memikat rakyat, itu saja,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Barisan Kepimpinan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini hari ini.

Ahli Parlimen Tambun itu mengulas manifesto pakatan pembangkang yang diumumkan malam tadi yang menyatakan pelbagai janji termasuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari jika mereka membentuk kerajaan pusat.

Ahmad Husni berkata, beliau hairan mengapa PH mengambil langkah ke belakang untuk menghapuskan GST ketika banyak negara melaksanakan sistem percukaian itu untuk meningkatkan pendapatan negara.

“Saya tak faham apa yang difikirkan oleh pembangkang. Jika GST tidak baik, kebanyakan negara yang mengamalkan GST di dunia ini telah tersilap langkahlah.

“Secara ekonomi tidak masuk akal kerana mereka silap, tidak ada jaminan bahawa harga akan lebih murah dengan pemansuhan GST,” katanya.

Beliau berkata, adalah amat menyedihkan jika pendekatan pakatan pembangkang untuk menghapuskan GST dan mahu kembali melaksanakan semula sistem cukai lama. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.