Tosh Chan Menangis Kurang Seminit Kerana Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR: Pelakon baharu iaitu Tosh Chan yang menggalas watak Datuk Lee Chong Wei dalam filem biopik itu hanya mengambil masa kurang dari seminit untuk menjiwai babak-babak emosi yang memerlukan dia mengeluarkan air mata.

Tosh Chan, 23, berkata dia terlalu rindukan keluarga terutama ibunya yang berada di kampung, Johor Bahru selama empat bulan kerana menjalani latihan serta penggambaran filem itu.

“Saya dapat menjiwai babak emosi yang memerlukan menangis itu hanya kurang dari seminit sahaja.

“Masa itu saya hanya fikir tentang keluarga terutama ibu yang sudah hampir empat bulan tidak bertemu disebabkan menjalani latihan dan penggambaran,” kata Tosh Chan kepada mStar Online.

 


Tosh Chan mengambil masa kurang seminit untuk menangis.

Tosh Chan ditemui ketika sidang media filem sempena filem biografi Lee Chong Wei di GSC, Pavilion, di sini, pada Jumaat.

Tambah Tosh lagi, dia tidak sabar untuk melihat reaksi ibunya selepas menonton filem pertama lakonannya sebagai jaguh badminton itu.

“Saya sangat teruja nak tengok macam mana reaksi ibu apabila menonton filem pertama lakonan saya.

“Tambahan pula, saya pertama kali dapat membawa watak seorang legenda dan jaguh badminton dunia,” ujarnya.

Pada malam ini, filem arahan Teng Bee itu akan ditayangkan secara eksklusif di Stadium Bukit Jalil di mana Wira Lee Chong Wei sendiri akan hadir bagi menyaksikannya.

Manakala, filem biografi itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 15 Mac ini.

 

Antara pelakon yang terlibat dalam filem Lee Chong Wei

Selain Tosh, filem itu juga dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor yang memegang watak sebagai Datuk Misbun iaitu jurulatih kepada Chong Wei.

Dalam pada itu, pemuda yang berasal dari Johor Bahru ini meluahkan hasrat untuk memasuki kelas lakonan dan ingin mencuba berlakon dalam drama Melayu jika diberi peluang.

“Saya akan masuk kelas lakonan untuk mengasah lagi bakat saya. Dah ada dalam perancangan dan akan masuk kelas itu dalam masa terdekat.

“Kalau diberi peluang dan tawaran, saya nak cuba untuk berlakon dalam drama Melayu juga,” katanya. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.