Jadual Semula Pendakian Atau Pulang Wang

KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah (TTS) dicadangkan membuat penjadualan semula pendakian Gunung Kinabalu atau memulangkan wang tempahan kepada pendaki yang tidak dapat melakukan pendakian semalam.

Ia susulan penutupan laluan pendakian puncak Gunung Kinabalu akibat gempa bumi berukuran 5.2 skala Ritcher berpusat di Ranau, semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata pihaknya ada menerima permintaan daripada kumpulan pendaki yang sepatutnya mendaki semalam, namun tidak dapat berbuat demikian akibat pemberhentian kegiatan itu.

“Jadi, mereka (pendaki) diminta berhubung terus dengan pusat di mana mereka buat tempahan dan saya sendiri minta Pengarah TTS (Dr Jamilis Nais) mempertimbangkan permohonan mereka supaya dapat membuat pendakian secepat mungkin.

“Langkah yang saya fikir boleh diambil TTS ialah menjadualkan semula pendakian dan kedua, pada mereka yang tiada ‘mood’ sudah untuk mendaki, boleh memohon untuk dipulangkan wang tempahan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tatu Kinabalu 2018 di Kompleks Sukan Likas, di sini, malam tadi.

Masidi berkata, beliau dihubungi melalui Twitter daripada satu rombongan yang telah membuat tempahan berbulan-bulan, tetapi tidak dapat membuat pendakian kerana ditutup.

Terdahulu, Masidi dalam kenyataan media petang semalam, berkata laluan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu akan dibuka semula hari ini selepas ditutup sehari apabila ia didapati selamat digunakan.

Difahamkan, seramai 135 pendaki yang sepatutnya melakukan pendakian semalam. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.