PTPTN Dana Pendidikan Terbesar Dunia

KUALA LUMPUR: Lebih 2.8 juta rakyat Malaysia mendapat manfaat dan bantuan menerusi penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 20 tahun lalu.

PTPTN adalah satu daripada inisiatif Kementerian Pendidikan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika itu di bawah dasar pendemokrasian pendidikan.

Ia membuka seluas-luasnya peluang kepada rakyat Malaysia melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sama ada ke universiti awam, politeknik dan Institusi Pendidikan Swasta (IPTS) menerusi pinjaman yang diberikan PTPTN.

Dengan kelahiran ramai graduan berkualiti hari ini membuktikan kewujudan PTPTN amat relevan kepada masyarakat kerana ia membantu mengurang kegusaran dan kerisauan ibu bapa dalam memastikan cita-cita anak mereka tercapai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata PTPTN dilihat sebuah organisasi dana tabung terbesar di dunia.

“Banyak negara yang datang ke Malaysia untuk melihat bagaimana tabung ini diuruskan secara profesional.

“Tabung ini memberi peluang kepada 2.8 juta rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran ke pendidikan tinggi sekaligus memecahkan tempurung pemikiran sempit dan meledakkan sosial mobiliti yang menempiaskan kekangan untuk berada di status sosial lebih tinggi,” katanya pada Majlis Sambutan 20 Tahun PTPTN.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.

Ahmad Zahid berkata, rekod PTPTN menunjukkan ketika ini jumlah peminjam yang melaksanakan tanggungjawab mereka membayar pinjaman mencapai 81 peratus.

Penyediaan pinjaman

Katanya, beliau percaya ada banyak sebab hingga sebilangan peminjam gagal membayar pinjaman dan pelbagai usaha dilakukan PTPTN bagi mengutip bayaran balik untuk membolehkan penyediaan pinjaman untuk pelajar baharu.

Untuk meneruskan usaha memberi dana kepada pelajar baharu, perkara paling penting adalah kutipan bayaran balik pinjaman dan PTPTN perlu dilihat dalam perspektif yang besar sebagaimana institusi kewangan lain.

Jumlah kutipan bayaran balik pinjaman meningkat dengan drastik pada 2015 apabila menerima RM1.45 bilion, diikuti RM3.43 bilion pada 2016.

Terkini pada 2017, PTPTN mencatat rekod baharu dalam sejarah pencapaiannya apabila berjaya mengutip RM3.98 bilion bayaran pinjaman.

Prestasi bayaran balik pinjaman ini adalah hasil usaha keras PTPTN demi memastikan kepentingan generasi akan datang supaya terus mempunyai dana bagi tujuan pendidikan tinggi.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancar program JobMatchingPTPTN iaitu satu usaha untuk membantu peminjam, khususnya kepada lebih 300,000 orang yang belum pernah membuat bayaran balik. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Prestariang Systems Sdn Bhd.

PTPTN menyediakan peruntukan awal sebanyak RM20 juta untuk program JobMatchingPTPTN ini.

Kenaikan jumlah pinjaman

PTPTN juga mengumumkan kelulusan berhubung kenaikan jumlah pinjaman yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Bajet 2018 untuk pelajar dari kelompok B40 dengan fokus kepada kursus berkebolehpasaran tinggi.

Sehingga 6 Mac lalu, kelulusan diberikan untuk Ijazah Sarjana Muda Perubatan (MBBS) di semua IPTS daripada RM150,000 kepada RM250,000 untuk lima tahun pengajian.

Diploma Pengajian Nautika di Akademi Laut Malaysia (ALAM) dinaikkan daripada RM20,400 kepada RM89,000 untuk tiga tahun pengajian dan Kursus Profesional Associationof Chatered Certified Accountats (ACCA) disediakan pinjaman RM60,000 untuk empat tahun pengajian di INTEC Education College iaitu anak syarikat Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bersempena sambutan 20 tahun PTPTN, turut dilancarkan penjenamaan semula Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) yang diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2018.

Untuk tahun ini, Insentif Geran Sepadan diberikan kepada pendeposit SSPN1M dengan peruntukan RM250 juta. Skop pemberiannya untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Bagi menggalakkan penabungan dalam SSPN1M, PTPTN turut melancarkan Program Hadiah Cabutan WOW! SSPN1M 2018 yang menawarkan hadiah menarik berjumlah RM2 juta.

Pada majlis itu, turut diumumkan Roslan Mamat sebagai pemenang Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN dan menerima RM100,000 yang dideposit ke dalam akaun SSPN1M. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.