‘Selangor Tidak Serius Ambil Alih SPLASH’

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor didakwa tidak serius dalam usaha mengambil alih syarikat konsesi Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) walaupun sepatutnya sudah berbuat demikian.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sebaliknya Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memberi tumpuan kepada bagaimana mahu membayar lebih RM2.7 bilion kepada syarikat berkenaan dan bukannya menyelesaikan isu air di negeri itu.

Katanya, tindakan itu adalah satu kecuaian jelas oleh kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin. Kerajaan Selangor sepatutnya sudah pun mengambil alih SPLASH dan kecuaian itu memberi ruang kepada pemegang saham SPLASH untuk mengaut lebih banyak untung sehingga mereka menjadi berani sebegini.

“Seorang Menteri Besar sepatutnya berjuang untuk rakyat tetapi pergerakan mungkin terhad kerana terlalu kenyang hingga termuntah,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Pada 5 November 2016, BH Online melaporkan Abdul Khalid menafikan Kerajaan Selangor tidak pernah menawarkan bayaran RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014 seperti yang didakwa Mohamed Azmin ketika menggulung Belanjawan 2017 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sehari sebelum itu.

Sebaliknya, beliau dilaporkan berkata, dakwaan berkenaan dibuat bagi mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran Mohamed Azmin untuk membayar sebanyak RM2.7 bilion terhadap ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal yang berjumlah RM250.6 juta.

Sementara itu, Abdul Khalid turut mengulas kenyataan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh dalam sebuah portal berita, yang menyalahkan SPLASH dalam isu gangguan bekalan air yang kini menjejaskan lebih 500,000 kediaman di lima kawasan di Lembah Klang.

Katanya, beliau ingin mengingatkan Hannah bahawa beliau pernah meminta DUN membawa isu air dan pengambilan SPLASH ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Bagaimanapun katanya, usulnya itu ditolak mentah-mentah oleh Hannah.

“Mungkin ketika itu (Hannah) merasakan ia tidak begitu penting. Natijahnya, rakyat terpaksa menanggung seksa akibat pemimpin yang mengambil sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.