Tukar Nama Jadi Masjid Sultan Sallehuddin

BALING: Masjid Tok Bandar di Mukim Pulai, di sini, yang siap dibina pada 2003 ditukarkan namanya kepada Masjid Sultan Sallehuddin sempena perasmian yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, semalam.

Pegawai Daerah Baling, Datuk Md Shuhaimie Abdul Rahman berkata, beliau bersyukur dan berbangga dengan keberangkatan Sultan yang sudi mencemar duli merasmikan masjid ini.

Menurutnya, masjid ini mampu menampung kariah dari empat kampung sekitar Pulai dengan anggaran 3,000 jemaaah pada solat Jumaat.

“Masjid dibina dalam kawasan berkeluasan 16 hektar dengan kos RM900,000 itu turut mempunyai pusat tahfiz,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian itu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan,Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan MuftI Kedah, Datuk Sheikh Mohd Fadhil Awang.

Terdahulu pada majlis itu, Sultan Sallehuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan kerusi roda dan wang tunai kepada 100 pelajar tahfiz yang terpilih.

Baginda turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada masyarakat Orang Asli Kaum Kensiu Ulu Legong dan orang kurang upaya (OKU).

Baginda turut bersantap hidangan kampung gulai batang pisang bersama rakyat dan menunaikan solat Jumaat sebelum berangkat pulang. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.