Suami Isteri Maut Dua Kereta Bertembung

KOTA BHARU: Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Salor Baru di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi, Mohd Sazarim Mat Nawi, 31, dan Malisa Ismail yang menaiki kereta Perodua Kancil, maut di tempat kejadian, manakala pemandu Proton Waja pula cedera serta dikejarkan ke Hospital Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata kereta Perodua Kancil terbabit dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Mas.

Setiba di lokasi kejadian, beliau berkata, kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar kereta Proton Waja.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu dan penumpang Perodua Kancil maut di tempat kejadian.

“Pemandu Proton Waja yang cedera pula dikejarkan ke hospital,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia ( HUSM) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987,” katanya.

Beliau berkata, polis menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi segala isyarat lalu lintas dan berhati-hati memandu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.