Tiada Unsur Jenayah Kes Dua Beradik Hilang

KUALA LUMPUR: Polis pada Ahad mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah  dalam insiden dua beradik dilapor dilarikan tiga individu dari sebuah tadika di Seksyen 16, Petaling Jaya Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata siasatan mendapati Raheel Khan Mohd Saleem, 6, dan adiknya Aleya  Reyhana, 4, yang dikatakan diculik, sebenarnya telah diambil oleh ibu kandung mereka.

“Kita meminta ibu kepada dua kanak-kanak itu tampil bagi menjernihkan keadaan dan merujuk isu kekeluargaan ini kepada pihak berkenaan,” kata Fadzil dalam kenyataan media.

Beliau menggesa orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berkaitan kes itu demi kebaikan kedua-dua kanak-kanak berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik itu dipercayai dilarikan tiga individu, seorang daripadanya wanita, pada kira-kira 9 pagi dengan alasan ingin membawa mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.

Perkara itu disedari apabila ibu saudara dua kanak-kanak berkenaan mahu menjemput mereka pulang dari tadika. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.