“Digital Hero” Pupuk Minat Gen-Y Dalam Tanah Rancangan

BENTONG- Bengkel Digital Hero bertempat di Felda Lurah Bilut hujung minggu  lalu telah memupuk dan menarik minat luar biasa GEN-Y didalam kawasan tanah rancangan tersebut.

Bertempat di Co-Working Space, Felda Lurah Bilut, tempat ini turut dikenali sebagai Lembah Digital Bilut merupakan projek rintis FELDA 2.0 yang telah dilancarkan pada 4 Februari lalu oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Program ini diadakan bertujuan untuk memupuk minat para pelajar dalam teknologi, elektronik, robotik dan pengaturcaraan bagi persediaan mereka untuk mengharungi arus kemodenan di masa hadapan seiring dengan pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematic).

Ianya disertai 100% generasi baharu FELDA (Gen –Y) dari pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India merupakan pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 sekolah menengah di dalam rancangan tersebut.

Program ini yang diadakan selama 2 hari telah dilengkapkan dengan pengisian-pengisian bermanfaat dan peserta turut diberi pendedahan terhadap transformasi FELDA 2.0 di rancangan tersebut. Antaranya peserta dilatih untuk mengendalikan sistem automasi berfungsi dengan kawalan elektronik dan sensor, yang boleh membantu mereka dari segi kemudahan teknologi dan sebagainya.

Selain itu, program ini juga bersandarkan dengan transformasi ekonomi digital yang disarankan oleh kerajaan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dalam menuju Transformasi Negara 2050 (TN50).

Bagi pihak FELDA, harapan yang sangat tinggi diletakan kepada GEN-Y FELDA agar mereka tidak ketinggalan dengan ledakan kemodenan serta dapat mengasah bakat dan kemahiran sejajar dengan keperluan industri masa kini dan masa hadapan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.