AS Kenakan Sekatan Ke Atas Individu, Entiti Russia

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas beberapa individu dan entiti Russia di negara itu kerana campur tangan pada pilihan raya AS dan serangan siber.

Namun itu tidak mensasarkan pemerintah dan pegawai kerajaan yang rapat dengan Presiden Vladimir Putin, yang memaksa ahli perundangan kedua-dua parti mendesak Presiden Donald Trump bertindak lanjut.

Dengan AS berada dalam tekanan untuk bertindak, langkah yang diumumkan Jabatan Perbendaharaan AS itu mewakili tindakan paling penting diambil terhadap Moscow sejak Trump menduduki Rumah Putih pada Januari 2017.

Selain mengenakan sekatan ke atas 19 individu dan lima entiti termasuk perkhidmatan perisikan Russia, pentadbiran Trump secara terbuka menyalahkan Moscow buat kali pertama kerana kempen serangan siber sejak sekurang-kurangnya dua tahun lalu yang mensasarkan rangkaian elektrik AS termasuk kemudahan nuklear.

AS juga menyertai Britain, Jerman dan Perancis dalam menuntut Moscow menjelaskan serangan toksin saraf gred tentera di England ke atas ejen dua muka Russia, dengan Trump berkata: “Jelas kelihatan Russia mendalangi kejadian itu.”

Namun pengkritik kongres menyifatkan langkah pentadbiran Trump sebagai tidak mencukupi bagi membalas campur tangan Russia pada pilihan raya AS 2016 dan beberapa tindakan lain.

“Sekatan hari ini adalah kekecewaan yang teruk dan jauh daripada apa diperlukan untuk bertindak balas kepada serangan ke atas demokrasi kita apa lagi menyekat serangan Russia, yang kini termasuk penggunaan senjata kimia di negara sekutu terapat kita,” kata wakil Demokrat dalam Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan, Adam Schiff. – Reuters

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.