FELDA Sudah Lama Buat Apa Yang Pembangkang Janji

KUALA LUMPUR: FELDA sudah melaksanakan 80 peratus iltizam yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pembangkang menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Ia merangkumi janji PH untuk menghentikan penyelewengan dalam FELDA di semua peringkat, menyusun semula tadbir urus FELDA, membela nasib dan mengurangkan beban hutang peneroka, memoden dan menaik taraf kawasan FELDA serta menyediakan peluang pendidikan terbaik kepada anak peneroka.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata janji PH amat terkebelakang apabila berbanding usaha yang sudah dilakukan oleh pengurusan agensi itu pada masa ini dan ada daripadanya dalam peringkat pelaksanaan ketika dalam tempoh beliau memegang jawatan itu sejak awal tahun lalu.

Beliau sekali gus menyifatkan pakatan pembangkang tidak memahami organisasi itu kerana kebanyakan janji yang terkandung dalam manifesto mereka sudah pun dilaksanakan.

Beliau memberi contoh, janji PH untuk lupuskan 50 peratus hutang peneroka yang dianggap tidak adil bagi peneroka yang tidak berhutang atau kurang hutang.

Ini kerana, beliau berkata sekiranya pembangkang mahu juga melupuskan hutang, mereka terpaksa menanggung beban hutang sebanyak RM5.2 bilion dan ini menyebabkan peneroka yang tidak berhutang atau kurang hutang tidak akan mendapat manfaat setimpal daripada langkah melupuskan hutang itu.

“Dari segi urus tadbir pula, FELDA sudah berjanji dengan peneroka supaya pengurusan dan kepemimpinannya mengamalkan urus tadbir yang baik dengan penuh integriti.

“Kita bukan retorik kerana kita dalam FELDA, sudah ikrar bebas rasuah selain menempatkan pegawai SPRM dalam unit integriti sejak saya jadi pengerusi.

“Kita juga mempunyai urus tadbir yang tersusun dalam FELDA. Maksudnya, pengerusi, pengerusi FGV dan FIC dijawat individu berbeza.

Anggota Lembaga Pengarah FELDA juga dijawat pelbagai pihak antaranya ketua peneroka, penerokawati, ahli politik selain kehadiran seorang lagi wanita bagi memperkuatkan organisasi ini.

“Kita juga memberi peluang kepada anak peneroka untuk bekerja dengan FELDA. Dianggarkan hampir 70 peratus daripada mereka berkhidmat dalam organisasi dan anak syarikat milik FELDA.

“Pengerusi Yayasan FELDA juga kita akan lantik dari kalangan anak peneroka,” katanya pada sidang media khas menjawab manifesto PH berkaitan FELDA di Menara FELDA di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata selain mengubah tanah rancangan FELDA menjadi destinasi pelancongan eko dan agro, agensi itu juga akan memperkenalkan teknologi baharu yang mana akan jadi punca pendapatan baharu bagi peneroka misalnya ladang solar yang mana bakal menjana pendapatan sebanyak RM30 juta setiap tahun.

Katanya, semua pembaharuan itu bakal dinikmati peneroka gagasan Felda 2.0 di mana tanah rancangan FELDA Lurat Bilut di Raub menjadi projek perintis sebelum diperluaskan secara berperingkat di tanah rancangan lain.

“Asas (Felda 2.0) adalah hala tuju untuk tambah baik kemudahan asas di tanah rancangannya.

“Dalam usaha membantu peneroka FELDA juga, kita mewujudkan dana pusingan dalam usaha membantu peneroka untuk membayar hasil kepada mereka dalam tempoh munasabah iaitu 45 hari atau kurang daripada masa itu,” katanya.

Dalam aspek pendidikan anak FELDA, beliau menegaskan sejak 2014 hingga 2016, agensi itu sudah membelanjakan RM190 juta dan dalam pada masa menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA di Trolak dengan memberi kuota 50 peratus kepada anak peneroka melalui peruntukan RM10 juta setiap tahun demi memastikan survival mereka dalam pendidikan.

“Apa yang saya jelaskan ini memperlihatkan kita sudah ke hadapan dalam membela nasib selain membantu mengurangkan beban hutang peneroka, memoden dan menaik taraf kawasan FELDA serta menyediakan peluang pendidikan terbaik kepada anak peneroka,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.