Manifesto Pakatan Harapan Untuk FELDA Ketinggalan Zaman

KUALA LUMPUR – Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk FELDA dan warga peneroka adalah ketinggalan zaman.

Ini kerana, kesemua iltizam yang disenaraikan oleh PH untuk FELDA semata-mata meraih kepercayaan dari warga peneroka untuk pilihan raya akan datang sedangkan perkara-perkara yang mahu dilakukan oleh PH sudah pun dibuat oleh Shahrir sejak beliau menyandang jawatan pengerusi FELDA sejak awal tahun lalu.

Memetik sumber dari BNBBC, Shahrir dalam sidang media yang dibuat petang semalam berkata, hampir 80 peratus perkara yang disenaraikan sudah dilaksanakan oleh kerajaan dalam FELDA.

Selain itu, kesemua peneroka FELDA sudah merasai manfaat yang diagihkan secara sama rata kepada mereka.

“Sebenarnya, hampir 80 peratus dari apa yang dicadangkan PH sebenarnya sudahpun terlaksana dan sedang berjalan dalam pelbagai peringkat pada masa kini di bawah tempoh saya sebagai pengerusi,” kata Shahrir.

Shahrir berkata, PH perlu mencadangkan perkara atau idea yang baharu untuk memberi kemudahan dan kelangsungan hidup buat warga FELDA dan bukalah mencedok perkara yang sudah dibuat oleh kerajaan.

“Sepatutnya mereka cadangkan perkara baharu, bukan mencedok apa yang terlaksana dan dijual sebagai harapan. Kalau dah ada, ia bukan benda baharu lagi,” katanya.

Bercakap mengenai hutang yang mahu dilupuskan oleh PH buat peneroka FELDA, Shahrir berkata, isu atau konsep pelupusan hutang adalah perkara yang tidak difahami dengan betul oleh pakatan pembangkang.

Malah, ia akan memberikan beban kepada peneroka-peneroka yang sifar hutang dan dikategorikan sebagai tidak adil buat mereka.

“Dan begitu saya lihat juga beberapa cadangan yang diletakkan dalam manifesto, mereka tidak faham sebenarnya konsep melupuskan hutang dalam satu tempat sampai 50 peratus daripada hutang yang ditanggung peneroka.

“Mereka harus faham bahawa kalau dilupuskan ianya bukan satu tindakan perakaunan.

“Ada 7,000 lebih peneroka yang sifar hutang. Kalau lupus 50 peratus hutang, bagaimana dengan 7,000 lebih ini yang tak berhutang?” soalnya.

Shahrir turut berkata, cadangan atau manifesto oleh PH itu gambaran jelas parti pembangkang tersebut tidak memahami dan mengetahui situasi sebenar selok-belok organisasi FELDA hinggakan boleh meniru langkah-langkah yang sudah dibuat dan diterjemahkan kepada rakyat supaya meraih undi untuk PRU akan datang.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.