NGO Korea Selatan Tidak Tahu Rakyat Malaysia Jadi Buruh Haram

SEOUL: Kehadiran rakyat Malaysia yang menjadi buruh haram di bumi Korea Selatan masih asing bagi badan bukan kerajaan (NGO) yang bergiat aktif membela nasib pekerja migran di negara ini.

Pusat Warga Asing Global Seongdong (SMWC) mengakui mereka tidak mengetahui tentang kehadiran rakyat Malaysia yang merantau ke negara ini untuk melakukan kerja-kerja buruh atau berkemahiran rendah.

Pengarah SMWC, Seok Won Jeong berkata, pihaknya banyak menumpukan bantuan terhadap negara-negara miskin dan mengakui tidak pernah menerima kes membabitkan rakyat Malaysia.

 

Won Jeong.

“SMWC adalah satu daripada pelbagai NGO dan agensi kerajaan negara ini dan bersedia memberikan bantuan kepada warga asing tanpa mengira status kerakyatan mereka.

“Pekerja asing datang ke sini untuk memaklumkan masalah mereka seperti kes kecederaan, tidak dibayar gaji atau tidak mendapat gaji setimpal daripada majikan,” katanya.

Bagaimanapun, kehadiran rakyat Malaysia di sini hanya diketahui Won Jeong, selepas dimaklumkan wakil mStar Online dan rakan kerjasama media, Korea Herald ketika berkunjung ke pejabat SMWC, Januari lalu.

Antara bantuan yang disalurkan SMWC adalah menilai aduan mangsa, menghubungi pihak majikan untuk menyelesaikan masalah secara baik, mengemukakan kes di pejabat buruh dan menyediakan penempatan sementara kepada pihak yang memerlukan.

“Kami juga menawarkan bantuan untuk membuat laporan polis terhadap ejen yang menipu mangsa, namun kebanyakan mangsa tidak mahu melibatkan polis kerana tidak mahu diheret dalam siasatan.

“Kini, agensi kerajaan dan Kementerian Pekerjaan dan Buruh cenderung untuk menangguhkan serahan nama buruh haram ke pejabat imigresen sehingga semua prosedur bagi mendapatkan pampasan dan insurans mangsa diuruskan,” jelas Wong Jeong yang juga merupakan Pengarah Persatuan Hak Asasi Pekerja Asing.

Menurut laporan berita Korea Herald, terdapat seramai 251,000 pekerja asing tanpa izin (Pati) yang bekerja di Korea Selatan. Difahamkan, daripada jumlah itu kira-kira 3,000 adalah buruh haram rakyat Malaysia yang masuk ke negara ini sejak 2016.

Kementerian Keadilan Republik Korea pula berkata, angka melibatkan pekerja dari Malaysia meningkat pada tahun lalu. Bagaimanapun, angka sebenar tidak dinyatakan.

 

Mangsa dinasihatkan agar melaporkan masalah ke pusat-pusat bantuan pekerja asing untuk membela hak mereka.

Korea Selatan membenarkan warga asing dari 16 negara di Asia Tenggara dan Asia Barat untuk bekerja di negaranya di bawah Sistem Permit Pekerjaan (EPS), tetapi Malaysia tidak termasuk dalam senarai itu.

Mengenai buruh asing warga Malaysia, Wong Jeong berpendapat, mereka mungkin menetap di kawasan terpencil dan tidak tahu tentang kaedah untuk menghubungi aktivis atau NGO untuk memaklumkan masalah mereka.

“Rakyat Malaysia tidak dapat dikesan kerana mungkin mereka berpindah-randah dan mendapatkan pekerjaan daripada ejen.

“Mungkin itu adalah punca mengapa mereka tidak menerima bantuan sewajarnya daripada NGO tempatan,” kata Won Jeong.

Jelasnya, kekangan bahasa juga menjadi faktor pekerja asing enggan membuat aduan kepada pihak sewajarnya, terutamanya mereka yang tidak memiliki permit pekerjaan sah kerana bimbang akan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Tambah Won Jeong, terdapat banyak NGO dan pusat bantuan yang menempatkan penterjemah pelbagai bahasa, begitu juga pusat bantuan yang dikendalikan kerajaan. – THE STAR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.