Skuad Terbaik Dah Ni – Shebby

KUALA LUMPUR: Dominasi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam membarisi skuad kebangsaan bagi mengharungi dua aksi antarabangsa disifatkan sebagai jalan selamat yang diambil pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Jelas pengkritik bola sepak negara, Serbegeth Singh, pemilihan terbabit menyaksikan skuad kebangsaan dibarisi pemain terbaik negara kerana ditunjangi pemain dari pasukan yang sedang mendahului Liga Super.

Bagaimanapun, menurutnya, ‘kuasa memilih’ tetap terletak di tangan Cheng Hoe untuk mencorak kesebelasan utama bagi ujian pertamanya ketika bertemu Mongolia sebelum mengharungi aksi penutup Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 dengan bertemu Lubnan di Beirut.

“Pemilihan ini agak konservatif kerana inilah keadaan sebenar bola sepak Malaysia. Tumpuan sudah pasti akan menjurus kepada corak latihan dan taktikal Cheng Hoe selepas kegagalan pengendali sebelum ini.

“Meskipun saya berpendapat Cheng Hoe boleh bereksperimen untuk aksi bertemu Mongolia namun situasi terkini meletakkan tekanan kepada skuad kebangsaan, jadi keputusan kedua-dua perlawanan itu amat penting.

“Baik aksi persahabatan mahupun Kelayakan Piala Asia, keputusan tetap mustahak kerana membabitkan soal maruah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi aksi antarabangsa berkenaan didominasi pemain Harimau Selatan itu selepas 14 daripada mereka dipanggil termasuk dua berdarah kacukan iaitu Natxo Insa dan juga La’Vere Corbin Ong.

Selain dua pemain terbabit, Cheng Hoe turut memanggil dua muka baharu iaitu pemain Kedah, Ariff Farhan Md Isa dan juga kapten Sabah, Rawilson Batuil dengan lima lagi gandingan baharu yang juga pemain pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan sebelum ini.

Lima pemain terbabit ialah penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat; pemain tengah Akram Mahinan (Kedah), Mahali Jasuli (PKNS FC), Darren Lok (JDT) pertahanan Shahrul Saad (Perak).

Selain itu, prestasi cemerlang skuad Bawah 23 tahun (B-23) yang mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, Januari lalu menyaksikan khidmat sembilan pemain skuad itu – Haziq Nadzli, Akhyar Rashid, Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria, Matthew Davies, Syahmi Safari, Safawi Rasid, Nor Azam Abdul Azih dan kapten, Adam Nor Azlin turut ditagih Cheng Hoe. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.