Yayasan MyCorps Teruskan Khidmat Sukarela Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menubuhkan Yayasan MyCorps bagi mengumpul dana sekali gus meneruskan misi sukarelawan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata kejayaan sukarelawan MyCoprs melaksanakan misi kemanusiaan menjadi titik tolak terhadap penubuhan yayasan itu.

Katanya, kejayaan misi kelima My Corps iaitu ke Afrika baru-baru ini yang mengutip dana sebanyak RM371,860 membuktikan sukarelawan pertubuhan itu mampu menyedarkan orang ramai mengenai misi kemanusiaan antarabangsa.

“Bagi saya MyCorps adalah program paling istimewa yang pernah dianjurkan oleh KBS.

“Misi kelima ini adalah paling mencabar dari segi pemilihan lokasi dan sukarelawan bergerak dalam kumpulan lebih kecil berbanding sebelum ini.

“Justeru Yayasan MyCorps ditubuhkan ini bagi memperluaskan misi dan tidak hanya bergantung kepada peruntukkan kerajaan semata-mata,” katanya ketika berucap pada majlis penghargaan MyCorps@Afrika di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras di sini, hari ini.

Beliau juga berkata KBS akan bekerjasama dengan beberapa pihak seperti Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dan beberapa pihak lain bagi menubuhkan yayasan berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Kita berbangga dengan sukarelawan MyCorps, sungguhpun sering ditanya dengan soalan mengapa menghantar bantuan ke luar sedangkan di tempat sendiri memerlukan bantuan?

“Ini adalah pelapis kita yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan meletakkan keutamaan orang lain berbanding diri sendiri, tidak kira di dalam mahupun luar negara.

Seramai 46 sukarelawan MyCorps diraikan pada majlis penghargaan MyCorps@Afrikaselepas masing-masing menamatkan misi dua bulan di empat negara Afrika iaitu Tanzania, Uganda, Kenya dan Sudan.

Selepas pelaksanaan lima misi kemanusiaan MyCorps di peringkat antarabangsa, sukarelawan berkenaan akan meneruskan khidmat komuniti tempatan.

Kumpulan Alumni MyCorps ini juga bakal melaksanakan program MyCorps@Malaysia yang berbentuk pembangunan komuniti untuk menyumbang khidmat dari segi pendidikan, pembangunan sosio-ekonomi dan kesihatan.

Ia akan dilaksanakan di 40 buah lokasi di seluruh negara yang akan bermula pada akhir bulan ini sehingga April depan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.