2 Wanita Diselamatkan Dalam Kebakaran Stor IPFN

KUALA LUMPUR: Dua wanita berjaya diselamatkan bomba dalam insiden kebakaran sebuah stor di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman, berkata dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, hanya ada dua mangsa berkenaan berada di dalam stor terbabit.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang juga juruteknologi makmal dan pekerja am berusia lingkungan 40-an, diselamatkan hasil tindakan pantas anggota bomba memotong pagar jeriji di tingkat atas stor itu.

“Sebaik melihat asap tebal dan api kian marak di dalam stor itu, kedua-dua mangsa melarikan diri ke tingkat atas dan terperangkap sebelum anggota bomba memotong pagar jeriji untuk menyelamatkan mereka.

“Mereka berjaya dibawa keluar dari bangunan itu dan dilaporkan tiada mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Khiruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.20 tengah hari.

“Seramai lapan pegawai dan 31 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chow Kit, BBP Hang Tuah, BBP Setapak dan BBP Jalan Tun Razak dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.32 tengah hari, iaitu kira-kira satu jam selepas jentera pertama tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas memandangkan tiada barangan mudah terbakar di dalam stor terbabit.

“Kebakaran itu menyebabkan stor berkenaan musnah sepenuhnya, manakala bangunan berhampiran mengalami kerosakan kecil,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihak HKL melakukan proses pengosongan bangunan di IPFN dengan memindahkan 19 mayat selepas bekalan elektrik diputuskan sebagai langkah keselamatan.

Atas faktor keselamatan, katanya, pihak hospital turut mengosongkan bangunan berhampiran lokasi kejadian membabitkan kakitangan, pesakit dan pelawat.

“Bahan kimia dan tong oksigen yang mudah terbakar di IPFN juga dibawa keluar ketika kejadian bagi mengelakkan kebakaran semakin merebak,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.