Kebakaran IPFN: Perkhidmatan, Operasi HKL Tidak Terganggu

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan dan operasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjalan seperti biasa serta tidak terganggu susulan insiden kebakaran stor di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) hospital itu, tengah hari tadi.

Pengarah HKL, Datin Dr Nor Akma Yusuf, berkata pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dan sudah dipadamkan sepenuhnya.

Selain itu, beliau berkata, proses pengungsian atau evakuasi pesakit, kakitangan dan pelawat dari bangunan berdekatan, dijalankan mengikut prosedur.

“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Punca kebakaran serta kerosakan masih dalam siasatan pihak berwajib, dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Diminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebook HKL, hari ini.

Sementara itu, seorang kakitangan HKL yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia yang bertugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) mendengar bunyi siren kecemasan sebelum dimaklumkan mengenai insiden berkenaan oleh pusat kawalan.

“Ketika itu, saya berada di wad ICU dan mendapat arahan untuk bersiap sedia memindahkan pesakit sekiranya kebakaran merebak.

“Alhamdulillah, kebakaran berjaya dipadamkan dan hanya pesakit di Unit Kecemasan diminta berpindah kerana ia terletak berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Keterangan gambar:

1. Kakitangan HKL membantu memindahkan pesakit di Unit Kecemasan ekoran kebakaran stor di IPFN. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.