Thailand Cadang ‘Hotline’ Khas Dengan Malaysia

BANGKOK: Thailand mencadangkan agar satu talian penting atau “hotline” diwujudkan dengan Malaysia sebagai saluran komunikasi secara terus antara pegawai kedua-dua negara bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan.

Cadangan itu disuarakan oleh Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha ketika pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Rumah Kerajaan semalam, kata jurucakap kerajaan, Lt Jen Weerachon Sukhondhapatipak.

Hishammuddin berada di Thailand bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (GBC) Malaysia-Thailand ke-54.

“Perdana Menteri berkata kedua-dua pihak (Malaysia dan Thailand) bersedia untuk mengeratkan lagi hubungan (dua hala) agar pelbagai ancaman terhadap keselamatan dapat ditangani dengan lebih berkesan,” kata jurucakap itu mengenai hasil pertemuan antara Prayut dan Hishammuddin.

Weerachon berkata Prayut juga memberitahu Hishammuddin bahawa keadaan keselamatan ketika ini adalah kompleks serta bersifat pelbagai dimensi, yang membabitkan pelbagai isu berhubung keganasan, jenayah rentas sempadan, politik, ekonomi serta keselamatan siber dan kewangan.

Katanya, dalam pertemuan itu, Prayut juga menzahirkan rasa puas hati beliau terhadap pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama keselamatan antara kedua-dua negara.

Selain keselamatan, Prayut dan Hishammuddin juga berbincang mengenai rundingan damai selatan Thailand yang sedang berlangsung dan perdana menteri itu memuji Kuala Lumpur kerana memainkan peranan yang konstruktif dalam rundingan itu, kata jurucakap itu lagi.

Beliau berkata Prayut memaklumkan kepada Hishammuddin bahawa rundingan damai yang diadakan atas daya usaha Malaysia itu, kini di peringkat membina keyakinan dan memerlukan lebih banyak masa sebelum dapat dimuktamadkan.

Kerajaan dan pihak penentang, yang Prayut rujuk sebagai “pihak yang mempunyai pandangan berbeza”, juga sedang berbincang tentang penubuhan zon keselamatan di satu daripada daerah di selatan Thailand.

Berhubung perdagangan dua hala, Weerachon berkata Prayut menyuarakan harapannya agar Malaysia dan Thailand dapat meningkatkan hubungan ke tahap rakan strategik, bukan sebagai pesaing, bagi menggalakkan dan meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Beliau juga meminta Malaysia memberi sokongan terhadap produk pertanian Thailand dan membantu menghalang kejatuhan harga getah.

Menurut Weerachon, Prayut akan membincangkan isu berkenaan dengan lebih mendalam dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak apabila mereka bertemu pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Sydney, Ahad ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.