Tiada Individu Layak Ganti TMJ – Khairy

BENTONG: Khidmat dan sumbangan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih diperlukan untuk mengembalikan semula kegemilangan sukan bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tidak ada individu lain yang lebih layak untuk menggantikannya kerana wawasan serta peranan beliau dalam sukan itu amat besar dan tidak boleh dijayakan sekiranya Tunku Ismail tidak berada dalam FAM.

“Beliau tidak boleh meninggalkan sukan bola sepak kebangsaan… saya diberitahu oleh beberapa penaja utama bahawa tanpa kepimpinan Tunku Ismail mereka (pelabur) tidak akan melabur untuk bola sepak.

“Jadi bagi saya tidak ada orang lain yang boleh yakinkan pelabur melainkan Tunku Ismail… kalau negeri dan kelab ingin mendapat habuan dan peruntukan lebih besar yang sebelum ini tidak pernah diberi maka mereka perlu meyakinkan TMJ untuk terus bersama bola sepak kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Dataran Tras, Bentong di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Anggota Parlimen Bentong yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Lebih 7,000 orang hadir pada program Fit Malaysia yang kali ketiga diadakan pada tahun ini selepas di Teluk Kemang Port Dickson, Negeri Sembilan pada 11 Februari lalu dan Muar, Johor pada 10 Mac.

Mengulas lanjut tentang peletakan jawatan tersebut yang disebabkan kejatuhan ranking Skuad Harimau Malaya ke tangga 178 dunia, Khairy berkata ia satu perkara biasa dalam arena sukan.

“Bagi saya naik turun ranking adalah perkara biasa tetapi kita perlu perancangan jangka masa panjang yang tidak tergugat dengan pandangan cetek jangka masa pendek yang lebih tertumpu kepada soal ranking semata-mata.

“Saya sendiri pernah mengalami kegagalan dalam beberapa temasya sukan seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia tetapi kemudian bangkit semula dalam Sukan SEA dan Sukan Olimpik,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.