Pesta Gol Ronaldo

MADRID: Cristiano Ronaldo meneruskan sentuhan berbisanya dengan meledak empat gol dalam aksi penuh menghiburkan ketika Real Madrid menewaskan Girona 6-3 awal pagi tadi.

Ronaldo membuka jaringan pada minit ke-11 namun bekas penyerang Middlesbrough Cristhian Stuani menanduk masuk hasil sepakan sudut untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-29.

Pemain Portugal itu kembali meletakkan pasukannya di depan pada awal separuh masa kedua apabila menyambut hantaran Karim Benzema sebelum melakukan rembatan tepat ke gawang. Dia kemudiannya melakukan hantaran kepada Lucas Vazquez untuk gol ketiga Real.

Ronaldo menyambut percubaan Benzema yang gagal ditangkap kemas penjaga gol untuk melengkapkan hatriknya pada minit ke-64 dan menjadikan kedudukan 4-1, manakala pemain gantian Gareth Bale meledak gol kelima pada minit ke-86 selepas Stuani sekali lagi meledak gol buat pasukan lawan.

PENJAGA gol Real, Keylor Navas cuba menghalang penyerang Girona, Stuani pada aksi La Liga, awal pagi tadi. – Foto EPA

Pertahanan Girona Juanpe kemudian menjadikan kedudukan 5-3, hanya untuk Ronaldo bangkit pada masa kecederaan dan meledak gol keempat perlawanan, gol ke-17 miliknya daripada lapan penampilan terakhirnya di semua kejohanan.

Ronaldo kini meledak 22 gol dalam liga itu musim ini, ketinggalan tiga gol berbanding pemain sensasi Barcelona Lionel Messi.

“Cristiano begitu penting bagi kami, dia menyalurkan jumlah tenaga yang luar biasa untuk pasukan,” kata jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane.

“Cristiano ketinggalan tiga gol berbanding Messi dan saya berharap dia boleh menjadi penjaring terbanyak kerana ia amat penting baginya. Apabila Cristiano bermain dengan baik, pasukannya juga bermain dengan baik.

CRISTIANO Ronaldo melakukan sepakan akrobatik sambil cuba dihalang pertahanan Girona. – Foto AFP

“Cita-cita Cristiano begitu hebat, namun saya juga mahu memuji usaha rakan sepasukannya, yang juga banyak membantunya. Kami menjaringkan beberapa gol menakjubkan hasil kerjasama seluruh pasukan.”

Pesta gol Ronaldo membantunya memintas Luis Suarez sebagai penjaring kedua terbanyak La Liga apabila penyerang Barca itu tidak beraksi membantu pasukannya menewaskan Athletic Bilbao 2-0 susulan penggantungan.

Real kini di tangga ketiga La Liga dengan 60 mata, 15 mata ketinggalan berbanding pendahulu Barcelona, juga empat mata di belakang pasukan tangga kedua Atletico yang tewas 1-2 kepada Villarreal awal pagi tadi. – Reuters

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.