Putin Menang Besar

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin menang besar pada pilihan raya semalam, melanjutkan pentadbirannya selama enam tahun lagi ketika hubungan Russia dengan Barat semakin tegang.

Kemenangan Putin menjadikan penguasaan politiknya ke atas Russia mencecah hampir suku abad sehingga 2024, yang menyaksikan beliau berusia 71 tahun ketika itu.

Beliau berada di belakang diktator Josef Stalin yang paling lama berkuasa.

Putin berjanji menggunakan penggal barunya untuk meningkatkan pertahanan Russia berhadapan Barat dan meningkatkan piawaian kehidupan.

Dalam keputusan yang memang dijangkakan, Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat, dengan cuma lebih 70 peratus undian dikira, mengumumkan Putin yang menguasai landskap politik Russia selama 18 tahun, menang dengan memperoleh 75.9 peratus undian.

Dalam ucapan kemenangan berhampiran Dataran Merah, Putin memberitahu penyokong beliau menterjemahkan kejayaan itu sebagai undian keyakinan dalam apa yang dicapai beliau dalam keadaan sukar.

“Penting untuk kita mengekalkan perpaduan ini. Kita akan berfikir mengenai masa depan negara ini,” kata Putin sebelum mengetuai rakyat negara itu melaungkan “Russia!”.

Beliau berkata, masa sukar menanti di hadapan tetapi Russia berpeluang mencipta ‘kejayaan’.

Pencabar terdekat Putin iaitu calon Parti Komunis, Pavel Grudinin, memperoleh 13 peratus undian, manakala seorang lagi, Vladimir Zhirinovsky, cuma mendapat enam peratus undian. – Reuters

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.