30,000 Pelajar Terima Manfaat Tuisyen Rakyat@KKLW Tahun Ini

TEMERLOH – Seramai 30,000 pelajar menerima manfaat daripada pelaksanaan program Tuisyen Rakyat@KKLW tahun ini, melibatkan 594 pusat tuisyen di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu yang dikira setakat Mac ini, adalah lebih ramai berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pada tahun 2017, program itu melibatkan 28,110 pelajar dan 577 pusat manakala pada tahun penubuhannya iaitu 2016, seramai 22,068 pelajar menjadi pelajar perintis di 438 pusat.

“Kita akan memperluaskan program ini ke semua 222 kawasan Parlimen seluruh negara, dengan setiap kawasan memiliki satu atau dua pusat (tuisyen) bergantung kepada keluasan kawasan,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Tuisyen Rakyat@KKLW Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar di sini, hari ini.

“Untuk tahun lalu, KKLW membelanjakan RM9.15 juta bagi program ini, dan pelajar yang mengikutinya menunjukkan peningkatan dalam pencapaian akademik mereka,” katanya.

Mengulas kejayaan program itu, Ismail Sabri berkata berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017, peratusan pelajar lulus semua mata pelajaran meningkat sebanyak 14 peratus berbanding keputusan peperiksaan percubaan.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 juga menunjukkan peningkatan apabila 17 pelajar dari Parlimen Temerloh memperoleh keputusan 6A ke atas, tambahnya.

“Program ini menyasarkan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan khususnya di luar bandar dengan subjek yang dianggap sebagai killer subject seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Mata pelajaran lain ialah mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah yang merupakan wajib lulus. Ini menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan taraf pendidikan golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan pusat tuisyen yang melibatkan antara 15 hingga 100 pelajar dalam satu pusat itu dilaksanakan menerusi konsep ‘Community Social Resposibility” oleh semua agensi di bawah KKLW.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penglibatan pihak swasta dalam program itu kerana setakat ini, hanya Celcom Axiata Berhad menyahut seruan untuk bersama-sama dengan kementerian bagi meningkatkan taraf pendidikan masyarakat luar bandar. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.