Budak 6 Tahun Maut Dilanggar Lari

TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas basikal ditunggang dipercayai dirempuh kereta dari belakang di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Kampung Gajah, jam 12 tengah hari semalam.

Murid Prasekolah Kebangsaan Permatang Pelandok, Muhammad Aqil Wafiy Mohd Yusof, 6, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa baru menyambut ulang tahun pada 8 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzhuki Mohd Mokhtar, berkata pihaknya menerima maklumat pada jam 12.15 tengah hari.

“Kita dimaklumkan berlaku kemalangan membabitkan basikal dengan sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan.

“Kanak-kanak terbabit dipercayai dilanggar lari kenderaan dipandu orang yang tidak dikenal pasti.

“Basikal dan kenderaan itu dipercayai dari arah yang sama iaitu Kampung Gajah menghala ke Teluk Intan,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Mohd Marzhuki berkata, seorang saksi lelaki berusia 34 tahun mendakwa, mangsa diremluh sebuah kereta jenis Proton Waja hijau, namun tidak dapat memastikan nombor pendaftarannya.

“Mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala basikalnya rosak teruk.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala usaha mengesan pemandu kereta yang dipercayai terbabit dalam kemalangan itu giat dilakukan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.