Johor Sedia Kediaman Selesa Untuk Setinggan

JOHOR BAHRU: Sebanyak 1,062 unit kediaman membabitkan Rumah Jenis Pakej A, Pakej B dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan dibangunkan di kawasan Kampung Melayu Pandan, di sini.

Rumah kos rendah yang ditawarkan itu merangkumi Rumah Jenis Pakej A pada harga RM30,000, Pakej B (RM50,000) dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) pula RM120,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata projek yang dilaksanakan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) itu adalah satu pelan penyediaan penempatan semula di atas sebahagian Lot 1876, Mukim Plentong daerah Johor Bahru.

Katanya, rumah akan dibina bagi memberi banyak manfaat, terutama kepada 749 keluarga yang sebelum ini menghuni lebih 40 tahun di sebuah penempatan setinggan, namun kini mampu menduduki kediaman lebih selesa.

“Setiap perkampungan setinggan memerlukan penyelesaian yang berbeza bergantung kepada keluasan tanah dan kedudukan kampung.

“Tetapi semuanya berasaskan kepada kesesuaian dan manfaat yang maksimum yang pada pandangan kerajaan negeri terbaik untuk rakyat.

“Pendekatan kerajaan negeri dalam membangunkan Johor, kita melaksanakan usaha berasaskan kepada dasar yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat

“Kita kerajaan yang pro-rakyat, kerajaan yang memberi perseimbangan, bukan sahaja melihat soal kawasan yang membayar cukai tanah mahupun harta, yang tidak bayar pun kita memberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Melayu Pandan (Jalan Imam) di Padang Awam Jalan Imam Kampung Melayu Pandan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abdul Razak Mohd Yusoff.

Mohamed Khaled berkata, pembangunan bertingkat itu akan dilengkapi dengan segala kemudahan, selain penduduk masih boleh tinggal secara komuniti.

“Dalam kita mahu bangunkan semula, kita mesti dapat memberi peluang kepada semua penduduk asal yang meneroka tanah ini supaya memiliki rumah sendiri dan tinggal di kawasan yang tersusun, cantik, selesa serta paling penting boleh mewarisi harta yang terdapat di kawasan bandar kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak menerusi kenyataannya berkata, Rumah Jenis Pakej A sebanyak 276 unit akan dibangunkan di Plot 1 dengan keluasan 1.89 hektar dengan setiap unit berukuran 69.68 meter persegi, manakala Rumah Jenis Pakej B pula sebanyak 276 unit akan dibangunkan di Plot 2 dengan keluasan 1.89 hektar dengan setiap unit berukuran 78.97 meter persegi.

Katanya, RMMJ pula akan dibangunkan di atas dua plot iaitu Plot 3 dan Plot 4 dengan setiap unit berukuran 92.90 meter persegi.

“Bagi Plot 3 RMMJ, sebanyak 256 unit rumah akan dibina atas tanah keluasan 1.72 hektar manakala Plot 4 pula memperlihatkan 254 unit akan dibina dengan keluasan 1.71 hektar.

“KPRJ akan memastikan bahawa amanah yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam membangunkan kesemua komponen perumahan di kawasan itu akan dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Penempatan semula setinggan adalah langkah pembangunan inklusif dan antara agenda pembangunan untuk memastikan mereka terus berada dalam bandar dengan menyediakan perumahan mampu milik sejajar dengan setinggan sifar, sekali gus merealisasikan misi Dekad Baharu Johor,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.