Jurulatih Terbaik Dunia Pun Tak Mampu Ubah: Jalani

KUALA LUMPUR: Bekas pakar beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek menegaskan masalah prestasi tidak menentu yang menghantui  pemain negara tidak akan berakhir biarpun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membawa masuk jurulatih terbaik dunia.

Sebaliknya, pemenang pingat gangsa Olimpik Barcelona 1992 itu berkata, faktor utama seseorang pemain itu mampu mencapai kejayaan adalah dengan keinginan dan kesungguhan yang tinggi.

“Apa yang saya tengok, pemain kita ini semuanya sudah terlalu selesa dengan apa yang mereka ada. Bawalah jurulatih terbaik dunia sekalipun dalam skuad negara, kalau pemain itu tidak mahu mengubah diri mereka sendiri, jangan mimpilah untuk berjaya.

“Untuk seseorang pemain berjaya, mereka perlu bekerja keras. Keinginan dalam diri perlu tinggi untuk mencapai apa yang dimahukan dalam kerjaya mereka. Kalau datang latihan pun sekadar cukup syarat, macam mana nak berjaya,” kata Jalani.

Kenyataan Jalani itu susulan daripada luahan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menerusi laporan Sukan NSTP semalam yang sudah hilang sabar dengan barisan pemain negara apabila terus bergelut dengan prestasi tidak menentu biarpun pelbagai perubahan sudah dilakukan badan induk itu terutamanya dalam menjaga kebajikan pemain.

Ia berikutan tiada seorang pun wakil Malaysia layak ke final Seluruh England tahun ini.

Menurut Jalani Norza untuk berasa marah kerana sebagai presiden beliau sudah melaksanakan tanggungjawab dengan cukup baik sejak memegang jawatan pada April tahun lalu.

“Saya fikir bukan saya seorang saja yang nampak, semua orang pun boleh lihat komitmen yang ditunjukkan Norza. Selepas banyak perubahan dan penajaan yang beliau bawa masuk demi kepentingan pemain, tetapi hasilnya belum ada.

“Norza sudah laksanakan tanggungjawabnya, kini sudah tiba masanya pemain pula laksanakan tugas mereka dengan mencapai kejayaan di pentas antarabangsa,” kata Jalani.

Mengambil contoh kejayaan beregu campuran Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang melakar sejarah buat negara itu dengan mendominasi acara berkenaan pada saingan Seluruh England buat kali pertama, Jalani berkata ia hadir disebabkan kerja keras mereka selain kepercayaan yang diletakkan ke atas jurulatih, Jeremy Gan.

Jeremy adalah bekas jurulatih beregu negara yang memulakan tugasnya bersama skuad beregu campuran Jepun, Januari lalu.

“Jeremy baru tiga bulan menjadi jurulatih mereka, tetapi mereka sudah menjadi juara Seluruh England. Lebih menarik, mereka baru berusia 22 dan 21 tahun.

“Saya percaya kejayaan ini, adalah hasil kerja keras mereka selain kepercayaan yang mereka letakkan kepada Jeremy. Kepercayaan antara pemain dengan jurulatih adalah sangat penting, kalau pemain tidak percaya dengan jurulatih mereka tidak akan berjaya,” katanya.

Watanabe-Agishino muncul juara selepas melakar kejutan menewaskan pilihan kelima dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong 15-21, 22-20, 21-16. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.