Serangan Di Timur Ghouta Bunuh 15 Pelajar

BEIRUT: Serangan terhadap sekolah di Timur Ghouta lewat semalam mengorbankan 15 pelajar dan dua wanita yang berlindung daripada pengeboman di tingkat bawah tanah bangunan itu, kata pemerhati.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, pengeboman disasarkan di Arbin, bandar utama di wilayah dikuasai puak penentang itu yang diserang tentera kerajaan lebih sebulan lalu.

“Tiga peluru berpandu dari satu serangan udara terkena sekolah, yang bahagian bawah tanahnya dijadikan kubu perlindungan.

“Pekerja penyelamat masih mencari mangsa terselamat,” kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.

SOHR, yang mengenal pasti serangan udara berdasarkan corak penerbangan, peluru dan pesawat digunakan, berkata serangan malam semalam disyaki dilancarkan tentera Russia.

Moscow berkata, ia membantu kerajaan Syria menghapuskan penentang di Timur Ghouta tetapi menafikan menyerang penduduk awam. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.