Serina Dakwa Bekas Suami Buli Emosi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Serina Redzuawan, 35, mendakwa bekas suaminya, Gavin Edward O’Luanaigh, menyeksa emosi beliau dengan hanya membenarkannya berjumpa dua cahaya mata mereka pada hari minggu.

Mengakui sedang melalui dugaan sangat perit, Serina berkata, Gavin sedikit demi sedikit mula memisahkan dirinya dengan anak-anak, sedangkan masing-masing bersepakat mahu menjaga dua cahaya mata mereka dengan cara tersendiri.

“Hari ini saya akan beritahu apa yang berlaku sebenarnya, yang selama ini saya pendam dan menanggung kesedihan. Jujurnya, saya tidak suka sensasikan hal peribadi keluarga, apatah lagi berkaitan anak-anak.

“Memang saya sedang melalui dugaan yang perit. Bekas suami cuba membuli dan menyeksa emosi (saya) sebagai ibu dengan memisahkan kasih sayang saya dan anak-anak.

“Dulu, saya berjumpa anak-anak setiap hari, tetapi sekarang dia benarkan kami berjumpa pada hujung minggu. Itu pun sekejap saja.

“Pelbagai alasan dia berikan. Dia akan buat anak-anak sibuk dengan aktiviti sehingga saya tidak berpeluang meluangkan masa bersama mereka. Apa yang dia buat memang kejam! Selama ini saya hanya bersabar,” kongsi pelakon terbabit di Instagram beliau, beberapa jam lalu.

Serina dan Gavin atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak, Tristan Tareef, 8, dan Isabella Saffiya, 6.

Bagaimanapun, Serina memberikan hak jagaan sementara anak-anak kepada Gavin selepas mereka bersepakat menjaga Tristan dan Isabella dengan cara tersendiri. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.