Awi Bawa Ibu ‘Dating’ Dengan Atikah

KUALA LUMPUR: Berkawan sudah lapan tahun, cinta baru berputik lima bulan lalu.

Penyanyi Awi Rafael, 32, mengaku lama menjalin persahabatan dengan aktres, Atikah Suhaime sebelum kasih mekar hingga membawa kepada pertunangan mereka pada 17 Mac lalu.

Awi atau nama sebenarnya, Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael memberitahu, dalam tempoh bercinta sejak lima bulan lalu, mereka hanya berjumpa sekali.

“Ketika dating, saya bawa emak berjumpa Atikah. Ini kerana kebetulan ketika itu, saya keluar bersama emak. Hanya itulah masa yang ada kerana Atikah berada di Indonesia untuk penggambaran filem.

“Kami berkenalan sejak saya masih menjalin hubungan dengan bekas kekasih. Ketika itu, kami hanya membahasakan diri ‘abang’ dan ‘adik’.

“Tak sangka perkenalan kami membawa kepada ikatan pertunangan,” katanya ditemui pada majlis sidang media musim kedua program realiti, Gema Gegar Vaganza (GGV2), di sini.

Beroleh restu ibu untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam perhubungan, pasangan artis berasal dari Singapura ini sengaja mengadakan majlis pertunangan secara senyap.

Tidak akan menghalang kerjaya seni Atikah, Awi akan sentiasa menyokong pelakon berusia 27 tahun itu untuk terus aktif dalam bidang seni.

“Saya memang hendak bagi tahu kepada semua termasuk media. Tetapi tak sangka, berita ini diketahui media terlebih dulu.

“Kami mengambil keputusan untuk tidak menghebahkannya sehingga majlis selesai. Kami memilih tarikh hari jadi Atikah sebagai simbolik kepada pertunangan kami,” katanya.

Awi berkata, ketika ini, dia sibuk dengan projek album baharu berjudul Ini Semua Dunia yang dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri.

“Sekarang saya sibuk dengan GGV2. Jadi masa yang ada cuma tahun depan. Insya-Allah 17 Mac tahun depan kami akan melangsungkan majlis perkahwinan,” katanya.

Sudah bersedia bergelar suami, Awi yakin dengan keputusannya memilih Atikah apatah lagi mereka sudah lama berkawan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.