Enam Jam Bergelut Padam Kebakaran Tangki Simpanan Minyak Di Pulau Busing

SINGAPURA – Tangki simpanan minyak yang dijilat api di Pulau Busing dapat dipadamkan selepas hampir enam jam operasi memadam kebakaran, kata Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Menurut SCDF, ia adalah usaha bersepadu Pasukan Kecemasan dan Pasukan Respons Kecemasan Syarikat (CERT).

Dalam pengemaskinian terbaru kira-kira 1.30 pagi ini, SCDF berkata 31 jentera sokongan dan pemadam kebakaran dan 128 anggota SCDF terlibat dalam operasi itu.

Dua jentera besar penyembur buih dengan 6000 GPM (gelen per minit) digunakan untuk mengurangkan kebakaran tangki simpanan minyak manakala lima jentera penyembur air tanpa pemandu digunakan bagi menyejukkan tangki bersebelahan, menurut SCDF.

Operasi yang diketuai SCDF disokong beberapa agensi berkaitan seperti Polis Pengawal Pantai, pihak berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura, Tentera Laut Republik Singapura dan Agensi Alam Sekitar Nasional. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.