FAMA Galak Lebih Ramai Sertai Program Ladang Kontrak Di Sabah

KOTA KINABALU – Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak menggalakkan lebih ramai petani di Sabah menyertai Program Ladang Kontrak untuk meningkatkan lagi pengeluaran sayur-sayuran dan buan-buahan di negeri ini.

Beliau berkata pelbagai tanaman yang berpotensi di Sabah yang boleh ditanam bagi membekalkan lebih banyak sayuran-sayuran atau buah-buahan, selain mempertingkatkan pendapatan masing-masing.

“Kita menggalakkan lebih ramai peserta Ladang Kontrak di negeri ini kerana kita dapat memberi jaminan pasaran untuk mereka. Pelbagai jenis tanaman yang mempunyai banyak permintaan dan boleh dieksport ke tempat lain seperti Pisang Saba, halia, dan betik,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sempena Program Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani Asia City di sini, pagi ini.

Beliau berkata setakat ini sejumlah 5,000 petani menyertai program Ladang Kontrak, membabitkan 10,000 hektar tanah bagi menampung permintaan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam negara ini.

“Sebanyak 350,000 tan metrik sayur dan buah-buahan bernilai kira-kira RM700 juta berjaya dihasilkan oleh para peserta Ladang Kontrak berkenaan…lima peratus daripada 5,000 peserta Ladang Kontrak itu adalah di Sabah dan kita mahu jumlah penyertaan di Sabah bertambah,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.