Ganesh Teruja Jumpa Obama, Bincang Peranan Belia ASEAN

KUALA LUMPUR: Sebulan lalu, usahawan sosial, Ganesh Muren yang mula menempa nama menerusi pelbagai kerja amal khususnya untuk masyarakat pedalaman, menerima panggilan telefon mengejutkan daripada Yayasan Obama.

Di hujung talian, kakitangan yayasan ditubuhkan pada Januari 2014 itu memaklumkan Ganesh dijemput menghadiri satu pertemuan tertutup di Singapura.

Menerusi kiriman e-mel, butiran berhubung pertemuan di hotel terkemuka di republik itu hanya menyebut ia bakal dihadiri ‘pemimpin kanan’ daripada Yayasan Obama.

“Saya diberitahu supaya tidak maklumkan kepada sesiapa mengenai undangan pertemuan itu kerana e-mel dikirimkan pegawai Yayasan Obama meminta berbuat demikian.

“Jadi, saya rahsiakan termasuk daripada pengetahuan ibu bapa. Hanya dua kakitangan saya dimaklumkan mengenai pemergian ke Singapura, tanpa mendedahkan tujuan apa,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Teka-teki di benak Ganesh yang juga pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Saora Industries mengenai misteri pertemuan tertutup itu akhirnya terungkai sebaik melangkah masuk ke ruang khas Hotel Shangri-La di Singapura.

“Petugas di hotel pun tidak tahu siapa yang akan hadir pada pertemuan tertutup itu, sekali gus menimbulkan lebih banyak tanda tanya.

“Rupa-rupanya ‘pemimpin kanan’ dalam e-mel berkenaan adalah bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Ketika itu, saya terkejut kerana sukar mempercayai beliau sendiri menghadirkan diri pada pertemuan yang berlangsung hampir dua jam,” katanya.

Menceritakan mengenai pertemuan Isnin lalu, Ganesh berkata, ia merangkumi wakil setiap negara ASEAN bertujuan memacu peranan belia dalam pelbagai inisiatif demi manfaat menyeluruh.

Katanya, aspek sumbangan difokuskan terhadapnya adalah meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, termasuk memperkukuhkan jaringan kemudahan dan keperluan asas.

“Setiap wakil ASEAN yang diundang menghadiri pertemuan tertutup itu mempunyai pengkhususan tersendiri seperti Myanmar berkisar mengenai matlamat meningkatkan pembabitan belia dalam politik, manakala Filipina berhubung usaha pendidikan.

“Bagaimanapun, menerusi pertemuan tertutup ini, saya menyedari banyak usaha boleh dilaksanakan membabitkan komuniti luar bandar seperti melebarkan jaringan peranan wanita dan tahap kecelikan teknologi maklumat (IT) dalam kalangan kanak-kanak.

“Menerusi siri perbincangan, usaha di peringkat domestik ini juga boleh ditingkatkan supaya mencetuskan kesan limpah di rantau ASEAN dalam tempoh panjang,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.