JDT, Selangor, PKNS, PKNP Pilihan Irfan

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, PKNS FC dan PKNP FC menjadi pilihan jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim untuk melangkah ke separuh akhir Piala FA musim ini.

Undian suku akhir petang semalam yang mempertemukan Kuala Lumpur-Selangor, PKNS FC-Perak, Pahang-JDT dan PKNP FC-FELDA United menjanjikan perlawanan sengit.

Sambil menganggap pertembungan JDT-Pahang paling menarik serta seumpama perlawanan akhir, Irfan berkata, agak sukar untuk beliau membuat pilihan kerana keupayaan kedua-dua pasukan hampir setara.

Namun faktor kekuatan menyeluruh dimiliki JDT serta kecederaan penyerang utama Pahang, Francis Forkey Doe yang memerlukan rehat panjang memberi sedikit kelebihan kepada skuad Harimau Selatan.

“Jurang antara kedua-dua pasukan itu terlalu kecil namun JDT dengan lima import serta dua pemain naturalisasi lebih mantap.

“Ketiadaan Forkey Doe pasti merencatkan jentera serangan Pahang,” kata jurulatih berpengalaman itu.

Beliau turut meramalkan PKNP mampu melakukan kejutan ke atas FELDA United sekalipun skuad bimbingan B Sathianathan itu belum mengalami sebarang kekalahan sepanjang musim ini.

“Tidak dinafikan FELDA memiliki dua penyerang hebat – Thiago Augusto (Fernandes) dan Gilberto (Fortunato). Namun kelemahan mereka adalah di bahagian tengah.

“Jika jurulatih PKNP, Abu Bakar (Fadzim) bijak menyusun strategi serta pandai mengeksploitasi kelemahan lawannya itu, mereka mampu melakukan kejutan,” ujar Irfan.

Perubahan drastik Selangor sejak dibimbing Nazliazmi Nasir memberi keyakinan kepada Irfan untuk memilih Red Giants sebagai satu lagi calon ke separuh akhir berbanding lawannya, Kuala Lumpur.

“Saya nampak perubahan ketara Selangor ketika mereka mengalahkan kami 3-1 pada pusingan ketiga Piala FA, minggu lalu. Mereka bermain sebagai satu pasukan malah pemain diberi kebebasan untuk mencorakkan permainan,” katanya.

Irfan juga tidak sangsi dengan kemampuan PKNS untuk mengetepikan cabaran Perak kerana pasukan kendalian Datuk K Rajagobal itu lebih mantap dan konsisten.

“Kunci utama PKNS adalah bahagian tengahnya yang dikemudi pemain import berjersi nombor 21 (Romel Ramirez) dan nombor 19 (Jonatan Acosta), ditambah dengan Mahali Jasuli dan pemain Singapura, Faris Ramli.

“Perak pula walaupun pernah mengalahkan Selangor 3-0 pada Liga Super dan menewaskan Pulau Pinang 3-1 semasa pusingan ketiga Piala FA, namun persembahan mereka tidak konsisten,” kata Irfan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.