Mayat Mangsa Lemas Terakhir Ditemui

BACHOK: Mangsa terakhir tragedi tiga beranak lemas di Pantai Sri Telong di sini semalam, ditemui kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Mayat Wan Ukkasyah Wan Halem, 12, dijumpai terdampar di pesisir pantai selepas hampir 16 jam hilang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar, berkata mayat ditemui kira-kira 200 meter (m) dari lokasi mangsa bersama bapa, Wan Halem Wan Mustapha, 44 , dan adiknya, Wan Muhammad Muzzammil, 7, dilaporkan lemas.

“Mangsa lengkap berpakaian ditemui anggota penyelamat yang membuat rondaan.

“Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.45 petang semalam, kegembiraan lapan sekeluarga mangsa berkelah di pantai sempena cuti sekolah, berakhir dengan tragedi.

Ketiga-tiga mangsa dikatakan cuba menyelamatkan seorang lagi anak Wan Halem, Wan Umair, 11, ketika mereka sedang mandi.

Bagaimanapun, Wan Halem, Wan Ukkasyah dan Wan Muhammad Muzzammil ditarik arus sebelum lemas.

Mayat Wan Halem dan Wan Muhammad Muzzammil kemudian ditemui orang awam tidak jauh dari tempat kejadian. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.