Rugi Lebih RM20,000 Kedai Runcit Terbakar

TUMPAT: Seorang pemilik kedai runcit kerugian lebih RM20,000 apabila premis itu hangus dalam kebakaran di Kampung Padang Rokma di sini, pagi tadi.

Kejadian pada kira-kira jam 11.25 pagi itu disedari orang ramai yang ternampak asap dari arah kedai terbabit.

Mangsa, Chua Siew Ke, 56, berkata ketika kejadian, beliau sedang memasak di rumahnya sebelum dimaklumkan insiden itu.

“Saya terus berlari kira-kira 400 meter ke kedai runcit dan apabila tiba, melihat api sedang marak. Ketika itu, bahagian hadapan kedai sudah hangus dan tiada barang dapat diselamatkan.

Keadaan sebuah kedai runcit yang musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Rokma. – Foto Siti Rohana Idris

“Mujur tong gas yang dijual tidak meletup. Jika tidak, sudah pasti keadaan bertambah buruk,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Saksi kejadian, Zaharin Abu Bakar, 38, berkata, beliau berada di kedainya apabila ternampak asap dari kedai runcit terbabit.

“Sebaik ternampak asap, saya segera ke premis itu dan melihat ia terbakar sebelum terus menghubungi pihak bomba,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Penguasa Bomba Ahmadi Muhd Hasan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.31 pagi sebelum 15 anggota dari BBP berkenaan dan BBP Darul Naim bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak sebelum berjaya dikawal lima minit kemudian.

“Tindakan pantas anggota berjaya mengelakkan api daripada merebak ke sebuah pusat komuniti bersebelahan premis itu,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.