Saya Baik-baik Saja – Ziana Zain

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon terkenal, Ziana Zain, memberitahu dirinya kini sibuk dengan aktiviti penggambaran selain rutin menguruskan anak.

Ziana berkata, meskipun jadual penggambaran siri Mak Cun musim keempat agak padat, beliau tidak sesekali mengabaikan tugas sebagai ibu kepada empat cahaya mata kesayangan, termasuk pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

“Saya baik-baik saja dan kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri arahan Erma Fatima, Mak Cun 4.

“Saya terima tawaran berkenaan kerana ia sangat istimewa, apatah lagi musim terbaru Mak Cun turut membabitkan rakan rapat seperti Erra Fazira dan Datuk Awie,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang mempunyai deretan lagu popular termasuk Kemelut Di Muara Kasih dan Putus Terpaksa itu berkata, dalam siri diminati ramai berkenaan, beliau membawakan watak mak andam.

Katanya, penampilan dalam drama itu nyata memberikan beliau pengalaman cukup menarik dan menyeronokkan, termasuk peluang bekerjasama dengan pengarah hebat, Erma.

Ziana, 49, pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong diri dan kerjaya seninya sejak kira-kira tiga dekad lalu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan. Saya doakan anda semua dirahmati Allah,” katanya.

Sebelum ini, Ziana memberitahu dirinya dalam perancangan akhir untuk tampil bersama single terkini, selepas agak lama tanpa lagu baharu.

Awal bulan ini, Ziana, yang muncul sebagai juara pertandingan Voice Of Asia (1995), menjadi tumpuan selepas suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mencederakan anak mereka pada 24 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, Armin, 53, yang berkerja sendiri, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.