Balasan Ketukan Beri Harapan

MUAR: Sejak 40 jam berlalu, nasib 14 mangsa dipercayai terperangkap dalam kapal korek JBB Rong Chang 8 yang dilaporkan terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa dekat sini, masih menjadi tanda tanya.

Sehingga jam 10 malam tadi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih meneruskan usaha tanpa henti.

Lebih 20 penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), enam penyelam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), tujuh penyelam dari kerajaan China dan lapan penyelam profesional berada di lokasi kapal korek secara bergilir-gilir bagi mengesan mangsa terperangkap.

Kapal korek berkenaan sudah berjaya ditunda ke kawasan cetek berkedalaman 18 meter manakala pasukan SAR turut mengepam udara ke dalam kapal berkenaan bagi terus mengapungnya selain membekalkan udara.

Balasan ketukan dipercayai daripada mangsa terperangkap di bahagian bilik enjin kapal kira-kira jam 2.30 petang tadi memberi harapan ada yang masih hidup.

Pantai Leka dipenuhi orang awam yang mengikuti perkembangan kes berkenaan, selain kehadiran lebih 50 petugas media tempatan dan antarabangsa.

Keluarga seorang daripada mangsa terperangkap, Mohd Akashah Azizan, 25, atau dikenali sebagai Aca berharap beliau ditemui dengan selamat.

Abang sulungnya, Azral Azizan, 37, berkata seluruh keluarga mendoakan keselamatan adik kelimanya itu.

Beliau turut keberatan memberitahu ibu mereka mengenai kejadian itu, namun seorang bapa saudara yang bercuti di kampung membantu memaklumkan kejadian berkenaan.

“Saya tak sampai hati nak beritahu ibu kerana tahu dia tidak dapat terima. Kebetulan ada bapa saudara dari Langkawi bercuti di kampung di Kedah yang memaklumkan kejadian itu kepada ibu.

“Ibu dan adik-beradik saya semua ada di sini menanti dengan penuh harapan,” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi SAR di sini, lewat petang tadi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.